Buaya sering 'ganggu' penduduk Kampung Baji, Kampung Titian, SFC pasang perangkap
SARIKEI— Penduduk di Kampung Baji dan Kampung Titian Simen dekat sini resah dengan kehadiran reptilia ganas di kawasan kampung berkenaan sejak akhir-akhir ini.
Menurut penduduk di situ, Neng Saedah dalam hantaran di Facebooknya, buaya berkenaan juga dikatakan cuba menyerang haiwan peliharaannya baru-baru ini.
"Pernah buaya datang sampai ke jambatan hadapan rumah ketika air pasang tinggi dan cuba membaham kucing saya.
"Mujur kucing sempat melarikan diri... Saya juga melihat buaya berkenaan melibas ekornya," katanya.
Berikutan itu, pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) Sibu tampil memasang perangkap buaya di Kampung Baji, Sarikei kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Perangkap itu dipasang bagi menangkap reptilia tersebut yang sering datang ke kampung berkenaa yang terletak di tepi sungai.
Malah, buaya berkenaan sering mencari makanan di bawah rumah penduduk kampung dan berkemungkinan boleh mengancam keselamatan serta memberi rasa kurang selesa kepada penduduk kampung.
Untuk rekod, penduduk Kampung Baji dan Kampung Titian Simen yang terletak di pinggir sungai Sarikei kerap kali merakam video dan gambar akan kehadiran sang bedal itu.