Ketua Pemuda UMNO jangan merepek, saya ada pas keselamatan memasuki KLIA sah sehingga Februari 2024 - Tiong King Sing
KUALA LUMPUR— Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menempelak Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Salleh berhubung
dakwaannya yang mengatakan menteri itu melanggar protokol keselamatan kerana memasuki dewan ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa pas keselamatan.
"Saya sudahpun mendapatkan pas masuk yang sah sehingga Februari 2024," katanya dipetik Mkini hari ini.
Tiong seterusnya dengan nada sinis menyindir dia amat menghargai Akmal jika Ketua Pemuda Umno itu dapat menjadi seorang ahli politik yang baik membantu ekonomi negara.
"Tetapi jika dia tidak tahu cara menjadi seorang ahli politik, tolong jangan cakap merepek," kata Tiong.
Ia susulan kenyataan Akmal di media sosial yang mendakwa menteri itu main redah tanpa memohon pas keselamatan selain salah guna kedudukan sehingga sanggup menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil tindakan terhadap Tiong.
Akmal menggesa Anwar untuk mengambil tindakan tegas berdasarkan laporan oleh portal BebasNews yang mendakwa seorang menteri telah memasuki Dewan Ketibaan KLIA untuk "menyelamatkan" seorang warganegara China yang ditahan pihak imigresen.
Malah Ketua Pemuda Umno itu turut mencadangkan Tiong dilucutkan jawatan sebagai menteri.
Menteri itu kemudian menggesa Akmal memohon maaf dan menasihatkannya agar mendapatkan maklumat sahih bukan hanya mendengar melalui media sosial.
Tiong dipetik media arus perdana, berkata dia pergi ke KLIA pada kira-kira jam 3 pagi, bersama dengan pegawai SPRM, selepas dimaklumkan tentang penahanan wanita itu melalui panggilan telefon daripada kakitangan Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou.
Wanita itu dilaporkan bekerja untuk stesen TV kerajaan China.
Tiong menambah, ini bukan kali pertama dia campur tangan dalam kejadian sedemikian dan kehadirannya pada Khamis di Terminal 1 KLIA telah membongkar rasuah di kalangan pegawai di lapangan terbang tersebut.
“Terdapat pegawai yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan daripada tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.
“Pelancong juga dikenakan RM3,000 pula jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi laluan khas, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa," katanya dipetik Berita Harian.
Dalam pada itu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah di balai ketibaan KLIA.
“Kami akan menyiasat dakwaan rasuah yang dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu.
"SPRM akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak dalam masa terdekat dan menyiasat perkara itu sewajarnya,” katanya sambil meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu.