Fadillah ke Nairobi bermula 3 Julai, teroka eksport pasaran sawit ke Afrika Timur

KUALA LUMPUR— Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi ke Nairobi, Kenya mulai 3 hingga 7 Julai ini.

Beliau akan menyampaikan ucaptama seterusnya merasmikan Malaysian Palm Oil Forum - East Africa Region 2023.

Lawatan ini bagi meneroka potensi pengembangan eksport minyak sawit di pasaran Afrika Timur, di samping memperkukuh kerjasama
dua hala antara Malaysia dan Kenya dalam industri minyak sawit, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam kenyataan hari ini.

“Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian Kenya dan Menteri Perdagangan Kenya serta pemain industri sawit di sana. 

“Mesyuarat yang akan diadakan bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Kenya serta meneroka peluang perniagaan dalam sektor minyak sawit di negara berkenaan,” kata kenyataan itu.

Jadual lawatan beliau turut meliputi kunjungan ke kilang-kilang pemprosesan minyak sawit dan syarikat-syarikat pengeluaran makanan
utama di Kenya. 

“Lawatan Timbalan Perdana Menteri ini memberi fokus ke atas komitmen Malaysia dalam mempromosi pengeluaran minyak sawit mampan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan Kenya serta negara Afrika yang lain.

“Pada masa yang sama lawatan ini dijangka akan menggalakkan kerjasama dan memberi peluang untuk meneroka potensi yang lebih luas bagi industri minyak sawit negara,” tambahnya.

Forum ini merupakan platform untuk mempamerkan kepakaran Malaysia dalam industri minyak sawit dan meneroka peluang kerjasama dengan negara-negara Afrika Timur.

Timbalan Perdana Menteri juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Kenya.
Next Post Previous Post