Sarawak perlu ramai pakar diet, pemakanan - Abang Johari

KUCHING—Penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pengeluaran makanan, beras, buah-buahan dan produk perikanan termasuk udang perlu diberi penekanan serta keutamaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata ini kerana beliau yakin industri pertanian akan memberikan sumbangan yang signifikan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) Sarawak menjelang tahun 2026 dan 2027.

Menurut beliau, ia secara tidak langsung akan membuka peluang baru untuk pekerjaan hiliran di negara ini.

“Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi pengeluar makanan yang penting dalam pasaran dengan penekanan kepada kualiti produk.

“Keutamaan sebagai pengeluar makanan yang berkualiti akan membantu memperkukuhkan kedudukan Sarawak di arena antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ngiling Bidai Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) di kediaman Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, di sini pada Sabtu.

Dalam ucapan sama, Abang Johari juga berhasrat agar Sarawak memainkan peranan penting dalam menghasilkan makanan berkualiti untuk mengatasi cabaran kekurangan makanan berkualiti di masa depan.

Menurutnya, mengikut ramalan pakar, jumlah penduduk global dijangka meningkat dari kira-kira 7 bilion orang pada masa kini kepada kira-kira 10 bilion menjelang tahun 2050.

“Dalam usaha mencapai matlamat ini, kita perlu ramai pakar dalam bidang berkenaan termasuk pakar diet, pakar makanan dan mereka yang mahir dalam aktiviti hiliran makanan.

“Kerajaan Sarawak telah memberikan sokongan kewangan kepada Universiti Putra Bintulu untuk menjalankan penyelidikan dan meneroka teknologi baharu dalam sektor makanan,” tambah beliau.

Info dan gambar UKAS
Next Post Previous Post