Kes tertunggak di Mahkamah Bumiputera cetuskan kebimbangan

Jefferson Jamit Unyat (tiga kiri) merasmikan Seminar Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak Bagi Zon Tengah, pada Khamis. Gambar ihsan Jiwa Bakti

SIBU— Sebanyak 35 peratus kes yang dikategorikan sebagai ‘masih tertunggak’ di pelbagai peringkat Mahkamah Bumiputera mencetus kebimbangan Pejabat Ketua Pendaftar dan Kerajaan Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Jefferson Jamit Unyat berkata, ini termasuk kes di bawah Headman Court (Ketua kaum/ketua kampung), Chief Court (Penghulu) dan Chief Superior Court (Pemanca/Temenggung).

"Bagi baki 65 peratus kes, ia telah diselesaikan dan kebanyakannya oleh Majistret Kontrak yang diambil oleh Kerajaan sejak 2014 untuk menyelesaikan kes yang difailkan sehingga 31 Disember 2013.

"Kes selepas 2014 dan seterusnya akan diuruskan oleh Majistret Ex-Officio,” katanya berucap merasmikan Seminar Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak Bagi Zon Tengah, pada Khamis (6 Julai).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram berkata, Mahkamah Bumiputera Sarawak melalui Majistret Kontrak  menunjukkan prestasi baik sejak kebelakangan ini.

"Saya ingin menyatakan perkara ini merujuk kepada beberapa kes pertikaian Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang telah lama tertunggak melibatkan pampasan tanah jutaan ringgit. 

"Kebanyakan kes ini telah berjaya diselesaikan oleh Majistret Kontrak terutamanya tahun lalu dan tahun ini," ujarnya.

Katanya, sesetengah kes telah tertunggak dan masih belum diselesaikan di Mahkamah Bumiputera Daerah selama beberapa tahun dan melainkan jika kes didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Bumiputera, pampasan yang perlu dibayar kepada pemilik tanah tidak dapat dibayar daripada Akaun Amanah Mahkamah Bumiputera.

Ini bermakna, pampasan itu disimpan oleh kerajaan tanpa sebarang faedah selagi Mahkamah Bumiputera Sarawak belum memutuskan perkara itu," jelasnya.

Berdasarkan rekod, katanya, 27 kes membabitkan pampasan tanah bernilai RM5,257,169.50 telah diselesaikan pada 2022 dan 24 kes lagi membabitkan pampasan RM4,597,236.00 telah diselesaikan oleh Majistret Kontrak tahun ini dari Januari hingga Jun 2023.

"Bagi saya, ini adalah perkembangan penting dan "kisah kejayaan" oleh Mahkamah Bumiputera Sarawak dan kami mengharapkan lebih banyak kisah kejayaan dalam beberapa bulan akan datang. Ini kerana kes pampasan tanah diutamakan berbanding kes lain oleh Pejabat Ketua Pendaftarnya," ujar beliau.

Gambar dan teks Jiwa Bakti
Next Post Previous Post