Lelaki dikhuatiri maut terperangkap, jengkaut dikendalikan terjunam ke dalam gaung

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang membuat teres bagi tujuan aktiviti pertanian. Gambar Ihsan PGO Sarawak

BELAGA—Seorang lelaki warganegara Indonesia yang sedang menjalankan kerja-kerja meneres bukit di kawasan Uma Kahei dipercayai masih terperangkap dalam jengkaut yang dikendalikannya selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter petang Khamis.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, maklumat awal yang diterima mengesahkan mangsa hanya dikenali sebagai Ponsel dan belum diketahui umur.

"Sepasukan anggota BBP Belaga bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 4.50 petang,"ujarnya dalam kenyataan semalam (6 Julai).

Menurutnya, tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya berlaku kemalangan jentera berat sebagaimana dilaporkan di kawasan hutan Uma Kahei.

Pasukan bomba kemudiannya melakukan size up di kawasan berkenaan dan mendapati terdapat seorang mangsa masih tersepit di dalam jengkaut.

"Adalah difahamkan semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang membuat teres bagi tujuan aktiviti pertanian," jelasnya.

Semasa mangsa membawa jengkaut di teres baru yang dibina, jengkaut yang dikendalikan mangsa tergelincir ke dalam gaung sedalam 30 meter. 

Pasukan bomba kemudiannya membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian bersama anggota PDRM. Mangsa katanya belum dapat dikeluarkan kerana terperangkap di bawah jengkaut berkenaan.

Pasukan Bomba ujarnya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana faktor cuaca dan telah memaklumkan kepada PDRM bagi memohon bantuan jentera berat lain bagi mengalihkan jengkaut tersebut.

Operasi mengeluarkan mangsa terpaksa ditangguhkan kerana hari sudah beransur gelap dan bersambung hari ini.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post