Dera anak kekasih hingga tengkorak, organ dalam perut pecah

MELAKA— Berang sofa kesayangan terkena muntah, seorang lelaki bertindak mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sehingga menyebabkan tengkorak selain organ dalam perut pecah.

Media melaporkan, mangsa dihantar ke rumah suspek berusia 25 tahun di Cheng oleh ibu mangsa berusia 24 tahun yang juga teman wanita suspek untuk berubat jam 5.30 pagi semalam selepas dikatakan kerap muntah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner, Christopher Patit, namun 40 minit kemudian, suspek menghubungi wanita itu memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum mereka berdua membawanya ke Hospital Melaka (HM), menurut Harian Metro.

“Sebaik tiba di HM pada 6.50 pagi, kanak-kanak yang dalam keadaan tidak sedarkan diri itu kemudian dirawat di Zon Merah dan diberikan bantuan pernafasan lebih sejam.

“Namun doktor mendapati mangsa tidak memberikan sebarang reaksi sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.15 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Christopher berkata, mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HM jam 10.30 pagi untuk tindakan selanjutnya dan pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan badannya.

Sehubungan itu ibu kandung mangsa dan teman lelakinya kemudian ditahan polis di hospital untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal polis mendapati suspek mengaku menendang mangsa secara agresif kerana muntah di atas sofa kesayangannya semalam.

“Suspek juga mengaku menekan perut kanak-kanak itu secara agresif berkali-kali selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai mengakibatkan tengkorak mangsa selain organ dalam perut pecah.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengetahui motif kejadian dan siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 13 Julai depan bagi membantu siasatan kes.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Terdahulu kedua-dua suspek berpakaian lokap tiba pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh.
Next Post Previous Post