Kapal peronda ditambah, tingkat keselamatan pesisiran Sarawak

MIRI— Kerajaan Negeri dalam perancangan mendapatkan tiga buah kapal peronda yang lebih besar bagi meningkatkan kecekapan rondaan di sekitar lapan buah taman negara marin dan pesisiran pantai.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata kapal peronda laju ini mempunyai keupayaan meronda lebih jauh dan tempoh masa yang lebih lama berbanding kapal peronda yang digunakan sekarang.

“Kita dalam usaha memperolehi aset ini bagi membolehkan Sarawak Coastguard meronda lebih jauh dan lama dalam penjagaan taman negara marin sekaligus melengkapkan ketidakcukupan aset agensi-agensi keselamatan yang lain,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Kapal Peronda Laju Kelas Pulau Sarawak Coastguard dan Markas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Miri di sini hari ini (18 Julai).

Dalam pada itu, majlis hari ini menyaksikan pelancaran enam kapal peronda laju kelas pulau Sarawak Coastguard berukuran 25 meter yang dilengkapi dengan teknologi water jet.

Abang Johari berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM90 juta yang dibentangkan dalam bajet tahun 2020 yang mana projek ini dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan ekoran Covid-19.

“Perolehan Kapal Peronda Laju Kelas Pulau ini juga merupakan inisiatif signifikan Kerajaan Sarawak selaras dengan objektif Post Covid-19 Development Strategy (PCDS) 2030 dalam meningkatkan kawalan keselamatan pesisiran pantai dan memelihara alam sekitar ke arah Sarawak negeri maju pada tahun 2030.

“Saya difahamkan bahawa sebuah Bot Interceptor Kelas Ikan telah ditempatkan di Tanjung Manis, Miri dan Lawas masing-masing pada pertengahan bulan April 2023. Ini merupakan langkah yang konkrit dalam perlaksanaan projek serta penugasan aset-aset mengikut perancangan yang holistik lagi strategik,” katanya.
 
Abang Johari menambah, perolehan kapal-kapal ini membuktikan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mendaulukan kepentingan rakyat.

“Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan dan keselamatan para nelayan kita.

“Aset-aset ini selain dari digerakkan untuk operasi penguatkuasaan ordinan-ordinan negeri, ia juga akan membantu dalam operasi mencari dan menyelamat, kawalan keselamatan dalam acara-acara air rasmi serta membantu penugasan agensi-agensi keselamatan yang lain di mana-mana tempat yang diperlukan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut merasmikan Markas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak Miri yang merupakan markas pertama UKPS di luar Kuching. 

Selain Miri, UPKS akan dibina di Sejingkat, Tanjung Manis, Bintulu dan Lawas.
Next Post Previous Post