OP Hire 2.0: Seorang lagi ditahan reman kemuka butir matan palsu di Selangor.

Shah Alam -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu secara atas talian kepada PERKESO untuk mendapatkan bayaran insentif pengambilan pekerja dibawah program PENJANA.

Permohonan reman selama dua hari bermula hari ini sehingga 18 Mei 2023 (Jumaat) terhadap suspek lelaki berusia 45 tahun dibenarkan oleh Majistret Nur Faizah Abdul Sani di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi. 

Sumber berkata, suspek merupakan pemilik syarikat dan dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM370,000 sekitar tahun 2020 sehingga 2021.

Tambah sumber, suspek ditahan di Pejabat SPRM Selangor sekitar jam 1 tengah hari semalam ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 471 kanun Keseksaan.

Pada Selasa lalu, SPRM telah menahan reman tiga individu dari dua syarikat berbeza kerana disyaki mengemukakan borang pengesahan pekerja secara atas talian yang mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM1 juta kepada PERKESO dibawah program PENJANA.

Penahanan reman suspek hari ini menjadikan individu yang ditahan reman sehingga kini berjumlah empat orang.
Next Post Previous Post