Sarawak bantu individu tanpa kewarganegaraan guna DSITKS, bolehkan kanak-kanak dapatkan pendidikan

KUCHING: Kerajaan Sarawak bantu individu tanpa status kewarganegaraan mendapatkan dokumen sementara bagi membolehkan golongan itu terutamanya kanak-kanak mendapatkan pendidikan di negeri ini.

Selari dengan usaha itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis penyerahan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) kepada 73 penerima di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Katanya, menerusi DSITKS, kerajaan Sarawak hanya dapat memberikan penyelesaian sementara bagi membolehkan pemegangnya menunggu pemohonan dokumen kewarganegaraan mereka diluluskan di peringkat kerajaan Persekutuan.

"Saya berharap mereka yang sudah menerima dokumen sementara itu dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin.

"Sekolah tidak lama lagi akan dibuka dan saya harap mereka yang mendapat dokumen ini dapat mengikuti pembelajaran di darjah satu di sekolah masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti sedang melaksanakan kajian untuk mengenal pasti jumlah anak tanpa status kewarganegaraan di seluruh Sarawak.

Jelasnya, isu dokumen pengenalan diri, merupakan salah satu dalam 14 perkara yang diberikan fokus oleh kerajaan negeri.

“Bukan kita mahu mengatur kehidupan anda, tetapi penting bagi ibu bapa mendaftarkan perkahwinan serta mendaftarkan kelahiran anak, supaya tidak ada masalah untuk mereka mendapatkan akses pendidikan dan kesihatan yang merupakan hak asasi setiap individu.

“Anak-anak harta keluarga dan anak-anak mesti diberikan pendidikan supaya menjadi anak yang soleh dan boleh membantu keluarga,” katanya.

Tambahnya, kajian itu juga bagi mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi sehingga anak-anak ini tidak mendapat dokumen pengenalan diri.

Selain itu, beliau memberitahu ketua-ketua masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk melihat isu kewarganegaraan di kawasan masing-masing untuk menyelesaikan isu penduduk tanpa dokumen pengenalan diri.

"Ketua masyarakat perlu mengambil tahu status penduduk di kawasan masing-masing, dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan masalah individu serta anak-anak tanpa kewarganegaraan," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata DSITKS bukanlah satu dokumen kewarganegaraan atau janji untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia.

“Mereka yang layak dikeluarkan dengan DSITKS ialah individu atau kanak-kanak yang dilahirkan di Sarawak, di mana salah seorang daripada ibubapa kandung mereka ialah warganegara Malaysia pemastautin Sarawak,” katanya.

Beliau berkata setakat ini daripada 176 pemohonan yang diterima di negeri itu, sebanyak 86 permohonan telah mendapat kelulusan Jabatan Premier dan telah dikeluarkan dengan DSITKS sehingga 24 Februari lalu.

Daripada jumlah tersebut pula, katanya, sebanyak 13 penerima sudah mendapat kelulusan status kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia pada 9 Mac lepas.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Razi Sitam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.