"Prank" menyamar pegawai polis Bukit Aman, lelaki didenda RM1,500

KUCHING-- "Prank" menyamar sebagai anggota polis untuk membuat kejutan dengan membawa kek di Balai Polis Tapah, Padawan membawa padah apabila lelaki terbabit dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Hukuman itu dijatuhkan ke atas tertuduh Wagner Sabut, 36, dari Kampung Simuti, Padawan selepas dia mengaku bersalah di hadapan Majistret Zaiton Anuar atas pertuduhan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan. 

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa menyamar sebagai pegawai polis di balai polis Tapah, Padawan sekitar jam 3.20 petang, 19 Februari lepas. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh semasa kejadian memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman kepada penyelia kaunter aduan (pengadu) bagi tujuan melaporkan diri. 

Kemudian tertuduh memberitahu dia datang untuk menahan pengadu. 

Tertuduh selepas itu berkata dia akan mendapatkan semula fail tetapi dia masuk semula ke balai dengan membawa kek di tangan dan memberitahu pengadu bahawa tindakannya itu hanyalah gurauan. 

Difahamkan, kek tersebut adalah tempahan daripada pelanggan untuk diberikan kepada pengadu. 

Namun, pengadu menahan tertuduh atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam dan berkelakuan tidak senonoh di balai polis. 

Selain itu, pemeriksaan turut mendapati dia bukan anggota polis dan hanya orang awam. 

Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Next Post Previous Post