Perlu jangka masa panjang, jalan berlubang di Bakun tidak dapat ditampal sekelip mata

KUALA LUMPUR— Aktiviti kenderaan lebih muatan yang melalui jalan simpang Bakun ke Empangan Bakun di Bintulu dikenalpasti punca keadaan jalan yang sering rosak sehingga tidak dapat ditampal dalam tempoh 24 jam.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerosakan tetap berlaku walaupun kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.

“Satu penyelesaian menyeluruh perlu melibatkan semua pihak terutamanya Kementerian Pengangkutan dalam mencari penyelesaian kepada penggunaan kenderaan lebih muatan.

“Penyelesaian ini penting bagi mengurangkan masalah kerosakan jalan yang boleh menyebabkan kos penyelenggaraan meningkat dalam jangka masa panjang,” katanya di Dewan Rakyat.

Abdul Rahman berkata demikian menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (GPS - Batang Sadong) yang bertanyakan pencapaian terkini KKR dalam pelaksanaan sifar jalan berlubang yang dilaksanakan kementerian.

Katanya, melalui program sifar jalan berlubang, kerja-kerja penampalan jalan berlubang dilaksanakan dalam tempoh masa 24 jam selepas penemuan atau aduan kerosakan.

“Sebanyak 56, 553 jalan berlubang di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan berjaya ditampal bermula Januari sehingga Disember tahun lalu.

“Hanya 431 jalan berlubang tidak dapat ditampal dalam tempoh 24 jam dengan peratusan pencapaian adalah sebanyak 99.24,” katanya.

Beliau menambah, bagi memantau kualiti tampalan pothole, JKR juga telah melaksanakan Audit Tampalan Potholes bagi memastikan tampalan yang dibuat mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Next Post Previous Post