Eksport minyak sawit sumbang RM130 bilion hasil pada 2022, Fadillah

KUALA LUMPUR— Eksport minyak dan produk sawit menyumbang kepada RM130 bilion (AS$29.8 bilion), atau 8.4 peratus daripada jumlah nilai eksport Malaysia tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ini menunjukkan minyak sawit terus menjadi tonggak utama ekonomi Malaysia kerana membawa hasil eksport bernilai tinggi.

“Sektor ini turut menyediakan pekerjaan langsung kepada lebih 650,000 orang termasuk kira-kira 450,000 pekebun kecil,” katanya berucap pada majlis makan malam perniagaan kumpulan syarikat Gamalux 2023 malam tadi.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan agensi berkaitan akan terus meningkatkan eksport produk hiliran minyak sawit dan derivatifnya.

“Kementerian turut membangunkan dasar sifar sisa lanjutan, melibatkan sejumlah besar sisa, termasuk kulit isirung sawit dan serat mesokarpa daripada tandan buah segar kelapa sawit, dahan buah kosong dan menggunakan bahan lain sepenuhnya,” kata Fadillah.

Beliau menambah, KPK melaksanakan semua inisiatif dengan visi memajukan sektor komoditi pertanian Malaysia bagi pembangunan mampan dan kemakmuran bersama di seluruh rantaian nilai.

“Dasar kemampanan adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDGs) 2030, dan adalah penting bagi pemain industri mengamalkannya,”katanya.
Next Post Previous Post