Larry dakwa kerajaan Anwar Ibrahim tidak dapat sokongan orang Melayu

KUCHING-- Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng mendakwa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan majoriti masyarakat Melayu. 

Presiden Pengasas Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata, meskipun kerajaan menafikan perkara tersebut, namun hasil dapatan daripada penganalisis politik menunjukkan anggaran 13 hingga 15 peratus masyarakat Melayu menyokong Kerajaan Perpaduan. 

"Selepas bercakap dengan beberapa penganalisis politik, saya mengesyaki sokongan Melayu 13 hingga 15 peratus untuk kerajaan ini, yang tidak disangka-sangka memandangkan gelombang 'Hijau' merentasi kawasan Melayu pada PRU15," katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini. 

Larry berkata demikian bagi memberi pandangannya ke atas prestasi Kerajaan Perpaduan dan Barisan Kabinet pimpinan Anwar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 yang telah memasuki hari ke-100. 

Tambahnya lagi, masih terlalu awal untuk menilai kerana ramai Menteri baharu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan baru menerima taklimat mereka dan masih belum membuat sebarang keputusan penting yang dapat memberi kesan positif kepada orang ramai.

Berikutan itu, beliau menyifatkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah lemah. 



"Kabinet akan menjadi lebih baik sekiranya lebih ramai ahli politik berpengalaman dimasukkan seperti Johari Abdul Ghani (bekas Menteri Kewangan II), Dzulkefly Ahmad (bekas Menteri Kesihatan), Yeo Bee Yin (bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Syed Saddiq (bekas Menteri Belia dan Sukan), Wee Ka Siong (bekas Menteri Pengangkutan) dan sebagainya.

"Kemasukan beberapa Menteri kabinet yang kontroversi juga memberi kesan negatif kepada imej keseluruhan pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini," jelasnya. 

Larry turut menyifatkan tempoh "bulan madu" Kerajaan Perpaduan lebih singkat berbanding kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 2018. 

"PH pada 2018 mempunyai tempoh enam bulan yang baik sebelum pandangan umum mula merosot.  

"Kali ini, orang ramai mungkin lebih bimbang dan meragui, selepas merasai pertukaran empat Perdana Menteri dan kerajaan dalam tempoh lima tahun," ujarnya. 

Menurutnya lagi, ujian besar ialah pilihan raya negeri akan datang dalam masa enam bulan.  

Tegasnya, jika kerajaan kalah teruk, Anwar mungkin perlu melakukan rombakan besar-besaran kabinetnya kerana jika tidak kerajaan pimpinannya akan diragui meskipun bertahan dalam penggal yang penuh.

Pendapat Larry disiarkan di akaun FB beliau pada pautan di bawah. 

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10159611715323737&id=532933736&mibextid=Nif5oz
Next Post Previous Post