Dron PDRM Sabah berjaya kesan mayat lelaki lemas selepas selamatkan anak

lemas sabah, lemas selamatkan anak, lemas dijumpai meninggal
KOTA KINABALU -- Mayat lelaki yang lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya berusia lima tahun di sungai Kampung Imbahan, Putatan, ditemui oleh dron polis hari ini selepas hampir 16 jam pencarian.

Mayat Lasibi Lawahidu, 40, dikesan oleh dron Unit Udara Polis Diraja Malaysia Sabah sekitar 300 meter dari tempat kali terakhir mangsa dilihat.

Borneo Post melaporkan Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim berkata mayat itu ditemui terapung di dalam sungai kira-kira jam 9.15 pagi dan kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes itu telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi siasatan masih diteruskan.

“Siasatan kami mendapati mangsa menangkap ikan di tebing sungai sekitar jam 5.30 petang Ahad. Anak lelakinya berusia lima tahun sedang duduk di dalam Perodua Myvi miliknya apabila kereta itu tiba-tiba bergerak dan terjatuh ke dalam sungai.

“Mangsa terjun ke dalam sungai dan berjaya menyelamatkan anaknya dengan bantuan orang awam tetapi lelaki yang dipercayai lemas itu tidak ditemui selepas kejadian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Haris berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya digerakkan terdiri daripada hampir 70 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Sukarelawan Rakyat, Polis Marin Wilayah 4 Sabah, dan Pasukan Penyelamat Air Bomba.

Beliau berkata pihaknya melakukan tiga pencarian sepanjang operasi itu, yang terpaksa ditangguhkan pada 12.30 pagi hari ini hingga 6 pagi.

Mohd Haris berpendapat kerjasama erat agensi terlibat membantu mengesan mangsa lebih cepat daripada jangkaan.

Beliau, bagaimanapun mengingatkan orang ramai yang tinggal di sekitar Putatan supaya berhati-hati apabila melakukan aktiviti riadah di sungai itu kerana ia bukan kejadian pertama melibatkan kanak-kanak.

“Dua tahun lalu, pernah berlaku kejadian serupa melibatkan seorang kanak-kanak yang lemas di kawasan sama. Kami khuatir mungkin akan berlaku lagi kejadian serupa pada masa hadapan.

“Penduduk sekitar Putatan dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti riadah seperti memancing di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya.

Gambar kredit Bomba
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.