Projek Kasawari CCS luar pesisir terbesar dunia - Abang Jo

PETALING JAYA-- Projek Kasawari Tangkapan Simpanan Karbon (CCS) atau Carbon Capture Storage (CCS) di luar pesisir Bintulu yang diusahakan oleh Petronas Carigali akan menjadi salah satu projek CCS luar pesisir terbesar dunia apabila siap sepenuhnya, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu, baru-baru ini, syarikat itu, anak syarikat PETRONAS, telah mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) untuk pembangunan Kasawari CCS yang dijangka akan mengurangkan 3.3 MtCO2e (tan metrik bersamaan karbon dioksida) setiap tahun.

Berdasarkan laporan the Edge, Fasa 2 projek Kasawari akan memerangkap sehingga 3.3 juta tan karbon dioksida itu ke bawah tanah ke dalam takungan setiap tahun.

Sementara Fasa 1 mengekstrak gas asli dari medan Kasawari untuk dihantar melalui saluran paip untuk diproses di Kompleks LNG Petronas Bintulu kira-kira 300 kilometer jauhnya, ia juga akan mengekstrak karbon dioksida yang tidak diinginkan, kata laporan itu.

"Sarawak telah meluluskan dan mewartakan Peraturan-Peraturan Kanun Tanah (Penyimpanan Karbon) 2022 termasuk ruang udara dan hartanah di atas permukaan tanah, serta dasar laut pelantar benua negeri untuk menyediakan rangka kerja undang-undang bagi Penangkapan Karbon, aktiviti Penggunaan dan Penyimpanan (CCUS) di Negeri.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Asean Education Cities Conferences (AECC) 2023 di Universiti Sunway di Petaling Jaya, pada Sabtu.

Jelasnya, Sarawak menyertai aktiviti perdagangan baharu itu akan menjadi sumber pendapatan baharu negeri.

Tambahnya, dianggarkan Sarawak akan mempunyai kapasiti 30 trilion kaki padu untuk penyimpanan karbon di dasar laut pelantar benuanya.

"Pelantar minyak terbiar di kawasan luar pesisir adalah sesuai untuk pembangunan simpanan karbon dioksida (CO2) yang selamat dan kekal oleh syarikat minyak dan gas yang kini mempunyai tanggungjawab untuk mengurangkan pelepasan CO2,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia yang menggubal undang-undang yang membenarkan perniagaan usahasama berasaskan karbon dan alam semula jadi.

“Kami telah meminda dan mewartakan Forest (Forest Carbon Activity) Rules 2022 yang akan menyediakan rangka kerja undang-undang untuk mengawal selia hasil hutan yang meliputi stok karbon dan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di Ladang Hutan Kekal, baik dalam negeri mahupun tanah miliknya.

“Dengan membenarkan perniagaan teroka karbon dan alam semula jadi, Sarawak memberi isyarat jelas bahawa ia komited untuk menangani perubahan iklim dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya lagi.

Abang Johari berkata, hasrat Sarawak dengan penjanaan pendapatan baharu diwujudkan sekali gus memasukkan elemen kelestarian alam sekitar ke dalam usaha pemulihan ekonomi.

Inisiatif berkenaan katanya, bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar, malah turut mewujudkan peluang untuk pelaburan dan pertumbuhan dalam ekonomi hijau.

"Baru-baru ini juga sebuah syarikat terkemuka dari Singapura, Korea Selatan dan Jepun telah menunjukkan minat mendalam untuk menyertai dan melabur dalam penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) CCUS di negeri ini," ujarnya.

Teks - Terjemahan dan suntingan dari Ambrose Cheng / Sarawakku / Pejabat Premier Sarawak 
Foto - Ambrose Cheng / Sarawakku / Pejabat Premier Sarawak
Next Post Previous Post