Petros labur RM2 bilion bina loji jana kuasa di Miri

Uggah (lima kanan) bersama yang lain menunjukkan tanda bagus semasa pelancaran Bekalan Paip Gas Asli di Medan Saberkas Miri, Sabtu lalu.

MIRI— Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan melabur RM2 bilion bagi membina loji jana kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pembinaan CCGT Miri berkapasiti 400 megawatt itu akan menyalurkan tenaga elektrik yang murah, boleh dipercayai dan sumber gas asli yang bersih bagi memenuhi keperluan warganya.

“Miri adalah satu daripada empat hab gas selain Bintulu, Samalaju dan Kuching yang memainkan peranan penting membekalkan gas asli ke seluruh negeri di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak atau Sarawak Gas Roadmap (SGR).

SGR adalah tonggak utama dalam menjadikan Sarawak negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030. Justeru Petros menumpu untuk membekalkan gas sehingga 1,200 MMscfd (juta kaki padu standard sehari) untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi,” kata Abang Jo 

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempena Majlis Pelancaran Paip Gas Asli di Medan Saberkas Miri, pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin 李景胜 Menteri Muda, Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat I (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak) Datuk Rosey Yunus dan Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii.

Abang Johari menambah, sejak 2017 Petros telah meningkatkan ekuiti pengeluaran lebih 40 peratus di luar pesisir Miri manakala di darat, penggalian dijangka bermula separuh masa kedua tahun ini.

Mengenai projek Perintis Bekalan Paip Gas Asli di Medan Saberkas Miri, beliau berpuas hati dengan kejayaan kerjasama pintar antara Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Petros.

Katanya, pemasangan saluran paip gas asli ini memanfaatkan 67 peniaga dan penjaja kecil yang akses dengan sumber tenaga yang murah, jimat dan bersih.

“Saya masih ingat sekitar 1990an,Tamu Saberkas hanya ‘menumpang’ lot parkir di Pusat Komersial Saberkas. Di sinilah peniaga dan penjaja kecil tempatan memasarkan produk pertanian dan hutan mereka.

Hari ini Tamu Saberkas sudah berubah dan berkembang menjadi salah satu tarikan utama di kalangan penduduk Miri malah pengunjung dari luar,” katanya.



Next Post Previous Post