Potongan peruntukan menyukarkan tugas Ahli Parlimen dari kawasan Pedalaman - Alexander Nanta Linggi

KUCHING-- Pemotongan peruntukan Ahli Parlimen akan menyukarkan penyaluran bantuan dan urus tadbir kawasan terutamanya Ahli Parlimen kawasan pedalaman, kata Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi. 

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, sebagai Ahli Parlimen kawasan yang berada jauh di pedalaman dengan cabaran geografi dan luas kawasan menyamai keluasan Negeri Pahang di Semenanjung Malaysia, tentulah peruntukan yang telah dipotong tidak mencukupi. 

Jelasnya ini akan memberi cabaran yang lebih besar kepadanya dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan yang amat diperlukan oleh rakyat.

"Saya mengambil maklum pengumuman YAB Perdana Menteri berkenaan pemotongan peruntukan pembangunan untuk ahli Parlimen yang dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.
 
"Sebagai ahli Parlimen dan ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, saya amat memahami dasar tindakan ini yang terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara.
 
"Namun, keputusan ini bagaimanapun agak mengejutkan, mengambil kira keperluan penduduk dan kawasan yang pelbagai, terutamanya di kawasan pedalaman," katanya menerusi kenyataan du Facebooknya hari ini. 

Jelas Nanta kebanyakan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Sarawak juga berada jauh di pedalaman yang tentunya amat bergantung kepada peruntukan ini.
 
Tambahnya, peruntukan sebelum ini banyak membantu Ahli Parlimen untuk membantu penduduk secara lebih efisien dengan bantuan dapat disalurkan secara langsung dan pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah dan jabatan Kerajaan.
 
Menurutnya lagi, peruntukan ini yang disalurkan ke Pusat Khidmat juga menjadi ‘one-stop centre’ bagi disalurkan kepada penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan dengan kadar segera. 

"Tidak terhad kepada penduduk di kawasan pedalaman, peruntukan seumpama ini juga besar manfaatnya kepada penduduk bandar dan pinggir bandar. 

"Bukan sahaja golongan B40 dan ke bawah, malah golongan M40 yang turut terjejas akibat kelembapan ekonomi dan bergantung kepada bantuan daripada wakil rakyat juga dapat dibantu melalui peruntukan ini," ujarnya. 

Selain itu, beliau memberitahu, pengurangan kadar peruntukan itu juga akan menjejaskan kualiti khidmat dan bantuan Kerajaan yang dapat disalurkan oleh wakil rakyat. 

"Atas dasar itu, Kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani kekangan ini. 
 
"Meskipun saya merasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan dipertingkatkan oleh Kerajaan dari masa ke semasa. 

"Ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk memastikan rakyat dapat dibantu dengan sebaiknya selari dengan hasrat Malaysia Madani," katanya.
Next Post Previous Post