Penunggang - penunggang Kapal Terbang sesak di lapangan terbang, Wakil Rakyat Miri

MIRI— Masalah kesesakan di Lapangan Terbang Miri tidak akan berlaku jika ia diiktiraf sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, ini wajar memandangkan kedudukan Miri yang penting terletak di pertengahan kedua-dua wilayah Borneo.

“Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menjadikan Lapangan Terbang Miri sebagai salah satu lapangan terbang bertaraf antarabangsa selepas Kuching? 

Maklumlah setiap kali saya ulang-alik ke kawasan, kadangkala saya boleh nampak penunggang-penunggang kapal terbang terpaksa berhimpit macam ikan sardin di balai menunggu.

Status sebagai lapangan antarabangsa ini akan memanfaatkan penduduk-penduduk di bahagian utara Sarawak termasuk rakyat di kawasan Yb Timbalan Menteri Pengangkutan di Limbang,” katanya pada sesi perbahasan Penggal Kedua Parlimen ke-15, hari ini.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Miri sudah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Projek naik taraf itu dianggarkan menelan kos RM60 juta dan dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Antara skop kerja yang dicadangkan di bawah projek ini adalah melibatkan perluasan bangunan terminal sedia ada, menambah baik kawasan terminal bagi operasi penumpang Rural Air Services (RAS), menambah bilangan kaunter daftar masuk (check-in-counters), memperkenalkan sistem pengendalian bagasi yang baharu serta menaik taraf fasiliti-fasiliti untuk keselesaan penumpang,” katanya.

Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang menambah, status lapangan terbang ini pada masa sekarang adalah lapangan terbang domestik.

“Buat masa ini, Lapangan Terbang Miri hanya menerima satu penerbangan antarabangsa dari Singapura melalui Scoot Air, tetapi belum mampu menampung lebih banyak pesawat dan penumpang,”katanya.

“Kementerian mempunyai perancangan untuk mengiktirafnya sebagai lapangan terbang antarabangsa. Namun kita perlu kemampuan dan kriteria tertentu dan ini akan dipertimbangkan selepas naik taraf selesai.

Justeru, kementerian berharap projek ini diluluskan dalam Belanjawan 2023 supaya dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Next Post Previous Post