Tiga Projek Air JBALB Terkesan Oleh Pembinaan Pan Borneo

BEKENU-- Tiga projek bekalan air di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) terkesan akibat pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di pakej WPC 11 di sini. 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, tiga projek tersebut ialah Cadangan Menaik Taraf sistem pum dan tangki aras tinggi 5.0 ML di Stesen Penggalak Bukit Song, Miri, Cadangan Penyambungan Paip Utama ke Kampung Sungai Teniku dan Projek Bekalan Air Luar Bandar Suai Kompleks Fasa II, Miri.

"Pagi tadi saya mengadakan lawatan kerja dan mendengar taklimat pihak Unit Pan Borneo JKR Sarawak mengenai perkembangan terkini tiga projek air JBALB di Bekenu, Miri yang terkesan akibat pembinaan lebuh raya pan Borneo di pakej WPC 11.

"Kemajuan pembinaan Pan Borneo banyak mempengaruhi dan menentukan kemajuan ketiga-tiga projek air JBALB tersebut," katanya menerusi kenyataan Di Facebooknya hari ini. 

Jelas Julaihi, lawatan pertamanya pada tahun lepas dan hari ini merupakan lawatan kedua ke tapak projek berkenaan. 

"Kali ini saya dapat mengetahui dan menyaksi kemajuan yang membolehkan pihak JBALB meneruskan kerja di tapak.

"Sasaran pihak Unit Pan Borneo untuk menyiapkan kerja mereka bulan Disember depan," jelasnya. 

Tambahnya ada di antara tapak yang sudah siap kerja pembinaan diserah kepada JBALB secara berperingkat-peringkat untuk membolehkan kontraktor JBALB meneruskan kerja yang berkaitan paip air di ketiga-tiga tapak kawasan itu. 

"Itulah harapan tinggi kami dan juga kerja-kerja penyelarasan antara pihak Unit Pan Borneo JKR Sarawak dan JBALB.

"Pada masa yang sama saya mohon daripada pihak Unit Pan Borneo semasa perjumpaan tadi supaya mengurangkan kerosakan paip air di sepanjang jalan tapak kerja oleh semua lapisan kontraktor mereka.

"Tujuannnya ialah untuk mengurangkan gangguan bekalan air kepada penduduk kawasan sekitar," ujarnya.

Selain itu, beliau memohon dipercepatkan kerja pembinaan pakej WPC 11 ini supaya dapat dipercepat juga kerja-kerja pemasangan paip JBALB di semua kawasan ini.

Gambar Julaihi Narawi
Next Post Previous Post