12,286 unit Rumah Mampu Milik di Sarawak, 632 unit dalam pembinaan - Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR— Sebanyak 12,286 unit Rumah Mampu Milik (RMM) telah dibangunkan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Sarawak setakat ini.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, manakala jumlah yang sedang dalam pembinaan adalah sebanyak 632 unit manakala sebanyak 756 unit masih dalam perancangan.

“KPKT akan meneruskan keriasama dengan Kerajaan Neger untuk meningkatkan akses rakyat kepada perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki,” katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat hari ini.

Nga berkata, KPKT di bawah RMM telah melaksanakan empat program iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mesra Rakyat (RMR), Perumahan PR1MA dan Program Kediaman SPNB.

“Terdapat 10 projek PPR di Sarawak yang merangkumi 4,791 unit rumah telah siap dibina dan satu lagi projek sedang dalam pembinaan yang merangkumi 461 unit rumah. KPKT juga telah membina PPR Sungai Rait di Daerah Miri, Sarawak pada tahun 2015 dengan jumlah unit sebanyak 505 unit. 

Selain itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menyiapkan 1,854 unit RMR manakala 171 unit dalam pembinaan serta 54 unit dalam perancangan. Di Miri, sebanyak 37 unit RMR telah siap dibina dan lapan unit dalam pembinaan serta satu unit dalam perancangan,” kata Nga sambil menambah ia memanfaatkan golongan B40 yang mempunyai tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga yang diberi kebenaran. 

Beliau berkata, bagi Perumahan PR1MA, KPKT telah menyiapkan 2,895 unit di seluruh Sarawak dan 702 unit dalam perancangan khusus untuk golongan M40.

“Buat masa ini, fokus PR1MA adalah untuk meniapkan projek sedia ada dan masih belum mempunyai perancangan untuk memulakan projek baharu di daerah Miri.

Bagi Kediaman SPNB sehingga kini, sebanyak 2,746 unit Kediaman SPNB telah siap dibina di Sarawak manakala di Miri, sebanvak 1,594 unit telah siap dibina,” katanya.

Selain itu, KPKT juga menyediakan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar bagi menyediakan kediaman yang selesa dan selamat untuk dihuni. Terdapat dua (2) subprogram iaitu Program Baik Puli Rumah di Bandar dan Program Bina Baharu Rumah di Bandar bagi golongan B40 yang layak dan berdaftar di bawah Sistem eKasih.

Ujarnya, kementerian bercadang untuk menaikkan siling Program Baik Pulih Rumah di Bandar dari RM15,000 seunit di Semenanjung dan RM17,000 seunit di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kepada kadar maksimum RM20,000 seunit di seluruh Malaysia. 

Bagi Program Bina Baharu Rumah di Bandar pula dicadang dinaikkan dari RM56,000 seunit kepada RM72,000 seunit bag Semenanjung Malaysia dan dinaikkan daripada RM68,000 seunit kepada RM86,000 seunit bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Kenaikan ini dicadang dilaksanakan mulai 1 Mac 2023.

Terdahulu Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man menyeru kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan program bantuan perumahan dan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk menyelesaikan masalah setinggan di Sarawak.
Next Post Previous Post