RM1 juta 'ghaib' dari akaun bank

KUCHING: "Nak keluarkan RM20,000 tunai dari akaun bank sendiri lebih susah, tetapi boleh lesap RM1 juta dari akaun hanya beberapa minit tanpa notifikasi dari bank," katanya Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes melibatkan seorang ahli perniagaan tempatan di sini yang mengalami kerugian RM1 juta apabila simpanannya selama 20 tahun itu lesap begitu sahaja dalam bank angkara penipuan bank. 

Tegasnya, jika seseorang ingin mengeluarkan RM20,000 tunai dari akaun banknya di kaunter, kebanyakkan bank masa kini memerlukan pemilik akaun untuk mengisi borang dan perlu menjawab beberapa soalan yang mewajarkan pengeluaran tersebut.

"Sekiranya pengeluaran RM20,000 menyukarkan, bagaimana dua kali pengeluaran sebanyak RM500,000 dapat dilakukan dalam beberapa minit?," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini hari ini. 

Katanya, bank seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk membuat penyimpanan wang, namun kini dilihat bank juga tidak selamat untuk menyimpan wang. 

"Jadi di mana kita, orang biasa boleh menyimpan wang simpanan kita?

“Ini adalah tanggungjawab asas kerajaan untuk melindungi harta rakyat dan oleh itu, kerana kesan dan implikasi serius penipuan ini, saya menyeru Kerajaan untuk bertindak segera ke atas perkara ini,” tegasnya. 

Mengulas lanjut kes itu, Michael menjelaskan, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 39, telah menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali pada semalam yang mendakwa dari Pos Laju.

"Pemanggil tersebut mendakwa terdapat bungkusan dikirim kepada mangsa dan meminta kata laluan bank satu kali (OTP). 

“Sebagai seorang ahli perniagaan yang bijak, dia merasakan sesuatu tidak kena dan meletakkan panggilan.

“Selepas panggilan itu, encik Lee memutuskan untuk menyemak akaunnya dan mendapati RM1 juta telah dikeluarkan tanpa kelulusannya,” katanya.

Tambahnya lagi, mengikut rekod bank mangsa, wang miliknya telah dipindahkan ke akaun bernama Celcom Sdn Bhd. 

"Mangsa hanya menjawab panggilan telefon, bukan kes memuat turun perisian perosak (malware).

“RM1 juta yang dipindahkan dari akaun Encik Lee dalam dua transaksi, masing-masing bernilai RM500,000 setiap satu. Tiada OTP atau notifikasi dihantar kepada kepada Encik Lee," ujarnya. 

Berikutan itu katanya mangsa telah membuat laporan kepada bank dan laporan polis berhubung transaksi tersebut. 

Malah, beliau bersama seorang lagi pembantu khas kepada Ching, Sim Kiat Long telah menemani Lee ke Maybank untuk membuat tindakan susulan terhadap aduan yang dilaporkan semalam.

Sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong 沈志强 pemimpin kanan Democratic Action Party merayu rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada dan berjanji untuk memberikan perhatian kepada isu scammer. 
Next Post Previous Post