Wanita lesap RM44,074.47 dalam bank akaun, dipindah tanpa kebenaran



KUCHING-- Seorang wanita mengalami kerugian RM44,074.47 selepas wang dalam akaun bank miliknya lesap dalam tempoh kurang sejam, dipindahkan ke akaun orang ketiga tanpa kebenaran pada 30 Disember lalu.

Berikutan itu, mangsa tampil mengadu masalah tersebut kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen bagi membantunya.

"Insiden ini berlaku apabila wanita tersebut melayari Facebook dan terlihat iklan yang menawarkan perkhidmatan membersih rumah.

"Ekoran sambutan Tahun Baru Cina hampir tiba, dia meminta pentadbir Facebook untuk membuat pesanan untuk perkhidmatan membersih rumah. 

"Kemudian dia menghadapi beberapa masalah dalam cuba membuat pembayaran untuk perkhidmatan tersebut," kata Chong menerusi satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya lagi, keesokan harinya, dia mendapati akaun Public Bank miliknya telah disekat dan selepas siasatan dengan bank, dia mendapati terdapat lapan pemindahan dana berturut-turut daripada akaun Public Banknya ke akaun seseorang yang menggunakan akaun Ambank Berhad.

Tambah Chong, nama akaun penerima adalah seseorang yang tidak dikenali mangsa.

Mengulas lanjut transaksi pemindahan wang itu, katanya, lapan pemindahan duit dalam akaun mangsa dilakukan kurang daripada tempoh sejam iaitu antara 7.37 malam hingga 8.29 malam pada 30 Disember 2022 melibatkan jumlah keseluruhan RM44,074.49.

Namun, katanya, apa yang peliknya dalam kes wanita ini, mangsa sebelum ini telah menetapkan had maksimum pengeluaran sehari sebanyak RM10,000 pada akaun banknya.

Malah, katanya, mangsa juga dikatakan tidak menerima sebarang pemberitahuan daripada Public Bank bahawa tetapan had akaunnya telah ditukar.

"Lebih-lebih lagi, sememangnya suatu yang luar dari kebiasaannya bahawa terdapat lapan pemindahan dana berturut-turut dari satu akaun ke akaun pihak ketiga yang lain dalam tempoh singkat iaitu satu jam.

"Sekiranya sistem keselamatan perbankan internet Public Bank Berhad lebih terjamin, pemindahan dana berturut-turut sebegitu pasti akan menimbulkan beberapa tanda merah dalam sistem sekali gus menghentikan pemindahan. 

"Tetapi, itu tidak berlaku. Selain itu, bukan sahaja tiada amaran sedemikian dalam sistem keselamatan bank, mangsa tidak menerima sebarang pemberitahuan mahupun sebarang OTP atau TAC daripada bank," jelasnya.

Justeru, beliau segera membantu magsa untuk menulis surat kepada Public Bank bagi menuntut pemulangan semula wang mangsa.

"Saya juga telah menghantar surat yang sama kepada Bank Negara Malaysia dengan harapan Bank Negara Malaysia, sebagai pengawal selia beberapa institusi kewangan di negara ini, boleh bertindak untuk melindungi kepentingan dan wang individu dalam bank.

"Saya juga secara peribadi akan membawa perkara itu, bersama dengan semua kes penipuan bank yang saya kendalikan sebelum ini, kepada perhatian Menteri Kewangan. 

"Kami tidak boleh membenarkan bank untuk lepas tangan daripada tanggungjawab mereka kepada pelanggan dan meningkatkan keselamatan sistem perbankan internet mereka," ujarnya lagi.

Next Post Previous Post