Untung RM164.6 juta pada tahun 2022, Sarawak tuntut Pelabuhan Bintulu dikembalikan - Abang Jo

Gambar ihsan Tim Media Premier Sarawak - Sarawakku

BINTULU-- Sarawak mahu Pelabuhan Bintulu diletakkan di bawah bidang kuasa dan pentadbiran kerajaan Sarawak agar ia diletakkan sebagai antara Pelabuhan Negeri, selari dengan usaha menubuhkan Lembaga Pelabuhan Pusat di Sarawak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu, ini adalah sebahagian daripada Stategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 yang melibatkan kesemua pelabuhan yang ada di negeri ini bagi mewujudkan Lembaga Pelabuhan Pusat yang akan diperbadankan mengikut undang-undang Negeri.

"Pelaksanaan strategi pembangunan ini untuk semua pelabuhan yang ada di Sarawak dan sebab itu ia mesti merangkumi Pelabuhan Bintulu yang seharusnya diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Ini akan membolehkan kerajaan Sarawak mempunyai Pelan Induk untuk pembangunan kesemua pelabuhan di Sarawak dan memastikan setiap pelabuhan memainkan peranan khas masing-masing dalam mempromosikan perdagangan dan perniagaan, menggalakkan kesalinghubungan perkapalan dengan hub logistik dan pengangkutan utama global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri majlis ulang tahun ke-10 Penubuhan Samalaju Industrial Port Sdn Bhd(SIPSB), sebuah anak syarikat Bintulu Port Holdings Berhad di Hotel Parkcity Everly di sini malam ini.

Gambar ihsan Tim Media Premier Sarawak - Sarawakku

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak mahu Pelabuhan Bintulu menjadi sebahagian daripada kluster Pelabuhan Negeri, di bawah Lembaga Pelabuhan Pusat yang akan diperbadankan mengikut undang-undang Negeri. 

"Lembaga Pelabuhan Pusat yang baharu ini akan memperkemas dan menyelaras pengurusan, operasi, perancangan dan pembangunan semua pelabuhan yang terletak di negeri ini. 

"Pihak berkuasa ini akan dapat memastikan penyelarasan tarif pelabuhan dan yuran untuk semua pelabuhan di Sarawak. 

"Tarif Pelabuhan Bintulu tidak disemak atau dinaikkan sejak 1993 dan lebih rendah daripada Pelabuhan Negeri, sekali gus mengalihkan trafik dari Pelabuhan Negeri kita," jelasnya.

Tambahnya, ia juga bertentangan dengan saranan IGC bahawa sepatutnya tiada diskriminasi terhadap yuran dan bayaran pelabuhan di kalangan pelabuhan di Sarawak yang akan memberi kesan pengalihan trafik perdagangan dan maritim dari mana-mana pelabuhan.

Justeru, katanya, kerajaan negeri akan berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk menghentikan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan persekutuan supaya ia boleh ditadbir dan dibangunkan lagi sebagai Pelabuhan Negeri. 

"Saya menyeru para Pemegang Saham, terutamanya PETRONAS, dan Lembaga Pengarah, dan Pengurusan BPHB, untuk menyokong inisiatif pembangunan utama ini dan mengambil langkah-langkah yang perlu dalam lingkungan pelaksanaan tugas fidusiari mereka, ke arah merealisasikan objektif penting ini.

"Saya amat berharap Kerajaan Perpaduan memahami sepenuhnya aspirasi rakyat Sarawak agar Pelabuhan Bintulu diletakkan di bawah bidang kuasa pentadbiran Sarawak," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga ingin meneruskan kerjasama dengan PETRONAS, sebagai pemegang kepentingan utama Pelabuhan, untuk mengurus, mengendalikan Pelabuhan Bintulu dan melaksanakan pembangunan pelabuhan itu bagi memajukan kepentingan perniagaan strategik kedua-dua pihak.

Selain itu, katanya untuk mencapai matlamat pembangunan mampan, untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada kawasan pedalaman dan pihak berkepentingan lain serta memastikan pertumbuhan dan kejayaannya yang berterusan.

"Kerajaan Negeri dan PETRONAS telah membuktikan rekod prestasi yang berjaya mengurus dan mengendalikan Pelabuhan Bintulu selama ini. 

"Dengan komitmen yang sama dan kerjasama yang baik antara negeri dan PETRONAS, Pelabuhan Bintulu akan berpeluang melakukan transformasi ke arah menjadi Pelabuhan atau hab pengangkutan utama di rantau Asia Pasifik," ujarnya.

Menyentuh sedikit tentang ulang tahun ke-10 SIPSB, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada syarikat kerana membina, mengurus dan mengendalikan Pelabuhan terutamanya untuk berkhidmat kepada industri di zon perindustrian Samalaju.

Bagi tahun 2022, SIPSB telah melaporkan hasil operasi sebanyak RM164.6 juta dan daya pengeluaran kargo sebanyak 6.6 juta tan. Beroperasi sepenuhnya sejak 2017 pelabuhan itu diunjurkan dengan pertumbuhan industri berat yang stabil di Samalaju, Pelabuhan itu akan mengendalikan lebih 10 juta tan kargo menjelang Tahun 2030.

Jumlah kos bagi pembangunan Pelabuhan itu ialah RM1.71 bilion termasuk pengorekan saluran pelayaran dan pemecah ombak.
Next Post Previous Post