Tiga jam sesak di Samarahan Expressway sama seperti pergi ke Sri Aman- Chong

 


KOTA SAMARAHAN-- Kesesakan trafik di laluan Kuching-Samarahan Expressway berikutan kerja-kerja naik taraf bulatan di laluan berkenaan perlu diberi perhatian dan ditangani segera, tegas Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Jelasnya, DAP Sarawak telah menerima aduan daripada orang awam khususnya pengguna jalan raya di laluan berkenaan yang terpaksa menempuh perjalanan lebih 3 jam dari Uni Garden, Kota Samarahan ke Hui Sing, Kuching.

"Saya bersama Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii telah melawat tapak pembinaan projek lampu isyarat di bulatan-bulatan di laluan Kuching-Samarahan Expressway.

"Sejak akhir-akhir ini, disebabkan penutupan jalan di laluan berkenaan dengan perancangan yang lemah di sekitar tapak pembinaan, ia telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang luar biasa bagi pengguna jalan raya di sepanjang laluan tersebut.


"Kami telah menerima aduan daripada pengguna jalan raya bahawa untuk perjalanan yang dekat antara Uni Garden ke Hui Sing, pemandu mengambil masa selama 3 jam, ini satu perkara yang mengejutkan, iaitu tempoh masa yang sama untuk perjalanan dari Kuching ke Sri Aman," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Chong, projek lampu isyarat itu bermula pada Oktober 2020, tetapi disebabkan pemilihan kontraktor yang lemah, projek itu tergendala. 



Dan kini katanya, setelah kontraktor baharu dilantik, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengumumkan bahawa projek itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya sehingga November 2023 untuk disiapkan.

"Projek untuk menaik taraf bulatan menjadi persimpangan lampu isyarat mengambil masa lebih daripada 3 tahun untuk disiapkan pastinya tidak boleh diterima.

"Lebih penting lagi, puluhan ribu pengguna jalan raya mengalami kesulitan yang besar dan kos masa hanya kerana kelewatan itu," tegasnya.



Tambah beliau, sekiranya kerajaan lebih bertanggungjawab dalam pemilihan kontraktor, projek itu sudah lama disiapkan dan pengguna jalan raya tidak akan terperangkap dalam kesesakan yang begitu teruk setiap hari pada hari bekerja.

"Seperti yang kita perhatikan hari ini, kerana Cuti Tahun Baru, tiada kerja yang dijalankan.

"Malah, hari pelepasan am dan waktu malam adalah masa terbaik untuk melaksanakan projek tersebut kerana aliran trafik yang kurang pada waktu tersebut.

"Tetapi, yang mengejutkan kami, tiada kerja dibuat sepanjang 2 hari lepas," ujarnya.

Ini katanya, menunjukkan pihak kerajaan dan kontaktor tidak serius untuk menyiapkan projek itu secepat mungkin.



"Kami akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kerja Raya dan kontraktor yang berkaitan untuk membincangkan cara bagi mempercepatkan projek dan mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa pelaksanaannya.

"Memandangkan kita mempunyai anak Sarawak sebagai Menteri Kerja Raya, lebih banyak penekanan dan perhatian harus diberikan oleh Menteri mengenai projek ini.

"Perlu ada kajian yang betul dan lorong lencongan yang mencukupi sebelum JKR memberi arahan untuk menutup jalan," katanya lagi.




Selain itu, Chong memberitahu lebih ramai polis trafik harus dikerahkan untuk membantu menguruskan trafik pada waktu puncak.

"Kami menyeru Menteri Kerja Raya untuk memberi keutamaan kepada kemajuan projek dan pengurusan trafik semasa pelaksanaannya," tegasnya.


Next Post Previous Post