Saintis Kanan tinggalkan kerjaya di Kota Metropolitan untuk ceburi pertanian moden di Sarikei.

we
Muhammad Izzat menunjukkan salad kerinting yang ditanam di Sarikei 


SARIKEI -- Selepas tiga tahun berkecimpung dalam pertanian moden, seorang bekas saintis senior sebuah syarikat farmaseutikal akhirnya menerima geran RM10,000 Go Digital Sarawak dari Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak melalui SEDC.

Geran GoDigital sebanyak RM10 000


Geran itu bagi mengiktiraf kejayaan beliau mengembangkan pertanian moden di Sarawak.

Mungkin ada yang tidak mengenali sosok Awang Mohammad Izzat Al Hadi Awang Salleh, namun bagi penggemar salad kerinting di sekitar Sarikei, Tanjung Manis dan Mukah, anak muda dari Kampung Seberang Sarikei ini amat dikenali.

Sayur segar hidroponik

Izzat adalah sosok di sebalik kejayaan Kampung Seberang Agrotek Enterprise, yang mengusahakan tanaman salad di Kampung Seberang Sarikei menggunakan kaedah hidroponik.

Penanaman salad lazimnya diusahakan di dataran tinggi dan berbukit yang memerlukan ketepatan suhu.

“Kawasan Sarikei pula terutama di Kampung Seberang Sarikei mempunyai suhu dataran rendah yang tinggi, komposisi tanah gambut yang tidak sesuai dan banjir pada musim tengkujuh.

Ini merupakan halangan dalam mengunakan kaedah penanaman tradisional. Jalan penyelesaian ialah melalui pertanian hidroponik dan fertigasi.

Saya mengusahakan tanaman salad kerana permintaan yang menggalakkan di Sarikei selain harga yang tinggi," katanya kepada Borneo Network.

Bermodalkan lebih RM40,000, beliau membangunkan beberapa model untuk kajian hidroponik dan fertigasi dilengkapi sistem IOT (Internet Of Things).

Pemasangan IOT di kebun hidroponik di Kampung Seberang Sarikei

"Sistem ini memudahkan saya memantau nutrisi tanaman salad ketika berada di luar kawasan seperti di Rajang dan Mukah yang memakan masa 2 hingga 3 jam perjalanan dari Sarikei," katanya.

Ujar beliau, kajian dijalankan sejak 2020 untuk mereka cipta sistem yang sesuai dengan kos pembinaan yang minima.

"Saya mula memfokuskan kepada tanaman salad kerinting dengan melakukan beberapa ujicuba pada set hidroponik yang sedia ada. 

Setelah membandingkan hasil dari beberapa cubaan yang dilakukan, banyak pembetulan terhadap sistem telah dibuat agar ia lebih sesuai digunakan untuk salad terutama di dataran rendah.

Kos yang mahal telah mendorong beliau untuk melakukan penelitian dan perbandingan sistem hidroponik yang ada di Sarawak.

“Hasil kajian dalam beberapa tahun saya dapati Deep Flow Technique (DFT) antara yang paling murah dan senang untuk dibangunkan di kawasan kampung dan luar bandar seperti Sarikei kerana mudah untuk mendapatkan input bahan binaan. 

Kaedah DFT didapati dapat menstabilkan suhu untuk salad tumbuh di kawasan tanah rendah tanpa mengeluarkan kos yang tinggi untuk sistem penyejukan,” katanya.

Lokasi Sarikei yang terletak jauh dari bandar besar seperti Kuching dan Miri juga menjadi faktor pemilihan sistem ini kerana kos pengangkutan yang tinggi. 

Tambah beliau, dengan kekangan dari segi kewangan pemilihan sistem yang betul amat penting agar peruntukan yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa menjejaskan kualiti tanaman.

“Buat masa ini kami hanya memfokuskan pada tanaman salad kerinting dengan pasaran tertumpu di sekitar Sarikei, Tanjung Manis dan Mukah. 

Pelanggan boleh mendapatkan sayuran di kebun, di pasar minggu dan melalui khidmat penghantaran secara COD,” kata Izzat.

Kampung Seberang Agrotek turut bekerjasama agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mendirikan sistem hidroponik untuk Koperasi Wanita Rajang di Kampung Rajang Tanjung Manis.

Selain itu bekerjasama dengan alumni Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk pembangunan dan penyelidikan tanaman melon secara hidroponik di Mukah.
Next Post Previous Post