Kertas putih kesihatan: Semua cadangan Sarawak diambil kira - Lukanisman

Gambar hiasan


KUCHING -- Semua cadangan daripada kerajaan Sarawak akan diambil kira dalam penyediaan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dirangka Kementerian Kesihatan untuk dibentangkan di Parlimen. 

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata cadangan itu termasuk permintaan kerajaan negeri untuk mendapatkan autonomi bagi aspek kesihatan. 

"Kuasa autonomi tersebut bukan untuk mengambil keseluruhan sistem kesihatan tetapi untuk menambah baik sistem berkenaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek Hospital Petra Jaya di sini hari ini. 

Beliau berkata perbincangannya bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian baru-baru ini juga menjelaskan kuasa autonomi membolehkan kerajaan negeri itu menentukan jenis projek untuk dilaksanakan dan jumlah kuantum untuk projek tersebut. 

"Ketika ini perancangan (projek-projek kesihatan) ini adalah berpusat (di peringkat Persekutuan) dan cadangan ini akan diperhalusi oleh kepimpinan Persekutuan dan negeri," katanya lapor Bernama. 

Mengenai perkembangan projek pembinaan Hospital Petra Jaya, Lukanisman berkata projek itu yang diambil alih oleh kontraktor penyelamat kini siap 25.78 peratus setakat 31 Dis lepas.

"Ini satu perkembangan positif kerana projek ini agak ke depan siap dalam tempoh lebih kurang satu bulan awal," katanya. 

Menurut Lukanisman kontraktor yang dipilih sangat bertanggungjawab sekali gus kerja-kerja pembinaan akan dipercepat dalam tempoh beberapa bulan akan datang khususnya kerja pemasangan peralatan elektrik.

Beliau berkata pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada 25 Nov tahun depan dan hospital itu akan mula beroperasi penuh seawal 2025.

Pembinaan Hospital Petra Jaya yang mula dilaksanakan pada 30 Mei 2013 antara projek sakit di Sarawak apabila ia tidak dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun yang ditetapkan dalam kontrak asal setelah kontraktor yang dilantik sebelum ini menghadapi banyak masalah untuk menyiapkannya.

Next Post Previous Post