Formula Pemberian Khas kepada Sabah, Sarawak diperhalusi



KUCHING-- Formula Pemberian Khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak akan diperhalusi bersama kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak. 

 Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, walaupun formulanya belum dimuktamadkan tapi secara prinsip Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi Sarawak RM300 juta setiap tahun dan Sabah RM260 juta.

"Formula Pemberian Khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak akan terus diperincikan bagi memastikan kaedah pengagihan yang lebih telus dan jelas.

"Formula itu akan diperhalusi bersama Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.
Jelasnya lagi, formula baharu itu perlu kerana mengikut perjanjian asal di bawah Perlembagaan Persekutuan, Sarawak menerima RM16 juta manakala Sabah menerima RM25 juta dan mengikut laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) ianya perlu dikemas kini setiap lima tahun sekali.

"Tetapi malangnya ia tidak berlaku (tidak dikemas kini) dan di dalam mesyuarat (Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63) pada Jumaat 20 Januari 2023, perundingan akhirnya dipersetujui, walaupun formulanya belum dimuktamadkan tapi secara prinsip Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi Sarawak RM300 juta setiap tahun manakala Sabah sebanyak RM260 juta," kata Fadillah.

Menurutnya lagi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan formula khusus iaitu dalam keadaan ekonomi negara baik, kedudukan kewangan juga baik maka ia (pemberian) harus lebih.

"Dan jika dalam keadaan senang kita (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) sama-sama senang, kalau susah sama-sama susah, itulah prinsip formula yang Sarawak perjuangkan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia.

"Semoga sambutan Tahun Arnab ini membawa bersamanya kesihatan berpanjangan, kebahagian, rezeki dan kemakmuran kepada kita semua.
"Jadikanlah perayaan ini sebagai wadah untuk kita mempereratkan hubungan antara kaum dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan serta persaudaraan sesama kita.

"Perkukuhkanlah hubungan harmoni dalam masyarakat kita dan raikanlah kepelbagaian kaum, agama dan budaya sebagai kekuatan kita bersama," tegasnya.

Katanya, perpaduan adalah kunci utama kepada keamanan, keharmonian dan kestabilan dalam sesebuah negara serta kunci utama kepada kejayaan Malaysia.

"Semoga segala usaha yang dilaksanakan Kerajaan dalam menstruktur semula ekonomi negara berlandaskan kepada tiga keutamaan strategik iaitu membasmi kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi berteraskan konsep Malaysia MADANI akan mencapai kejayaan demi kesejahteraan rakyat dan Negara," katanya.
Next Post Previous Post