Fasa 1 projek bina sistem pengangkutan ART Kuching bermula - Abang Johari


KOTA SAMARAHAN— Impian rakyat Sarawak untuk mempunyai pengangkutan awam moden dan serba canggih seperti kereta api bawah tanah London (London Underground) yang terkenal di dunia, bakal tercapai dengan bermulanya fasa pertama bagi projek pembinaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek melibatkan pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri itu akan turut merealisasikan matlamat negeri ke arah teknologi hijau. 



Katanya fasa satu KUTS bagi pembinaan ART yang menggunakan tenaga hidrogen itu akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Kuching serta Samarahan, dikategorikan sebagai Laluan Hijau, Merah dan Biru. 


“Ini adalah fasa pertama iaitu dari stesen Rembus (di Samarahan) ke Hikmah Exchange (Kuching) iaitu Laluan Biru, manakala dari stesen Kuching Central ke Pending ialah Laluan Merah,” katanya dalam sidang media selepas perasmian fasa pertama projek KUTS di tapak pembinaannya hari ini, lapor Bernama.


Menurut Abang Johari, Laluan Hijau pula bermula dari stesen Pending ke Damai Central. 


Katanya fasa kedua projek berkenaan yang akan diumumkan kelak meliputi laluan ART di kawasan Bau, Kuching dan Serian. 


Terdahulu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dalam ucapannya berkata laluan biru, merah dan hijau masing-masing melibatkan sejauh 27.6 kilometer (km), 12.3km dan 30km. 


“Kesemua laluan ini dijadualkan untuk mula beroperasi secara berperingkat, bermula suku keempat 2025,” katanya.


Sementara itu, Abang Johari berkata keberkesanan dan pengalaman membina laluan ART di Kuching akan membantu Kerajaan Negeri untuk merancang pembinaan ART di Bintulu nanti. 


Bagaimanapun, beliau berkata kos pelaksanaan ART Kuching yang dianggarkan RM6 bilion itu tidak melibatkan pembinaan di Bintulu.


“Kita dah ada pengalaman jadi kita akan laksanakan di Bintulu terutamanya melibatkan kawasan Tanjung Kidurong dan Samalaju kerana di situ banyak aktiviti pelaburan,” katanya.


Pada Mac lepas, Abang Johari memaklumkan laluan ART di Bintulu yang akan dilaksanakan dalam masa lima tahun ini dapat menghubungkan Bandar Bintulu dengan Tanjung Kidurong yang bakal membangun sebagai hab pengeluaran produk petrokimia dan hab perubatan. 

Next Post Previous Post