Empat ADUN Pulau Pinang gagal cabar undang-undang antilompat parti

(dari kiri) Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

PUTRAJAYA—Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar Dewan Undangan Negeri itu daripada meluluskan usul undang-undang anti lompat parti.


Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Datuk DP Naban, yang mewakili empat ADUN itu dan Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan negeri.


Ketua Hakim itu berkata pada Ogos lepas, satu lagi panel Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa DUN berhak menggubal undang-undang bagi menentukan kelayakan Ahli-ahlinya.


Mahkamah tidak membuat sebarang perintah untuk kos.


Dalam keputusan itu yang berlangsung secara dalam talian, mahkamah memutuskan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak terbatal kerana ia selaras dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan, lapor Bernama.


Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.


Pada 13 April lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Azizan Md Arshad membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan keperlembagaan enakmen undang-undang anti lompat parti negeri itu.


DUN dan Speakernya mahu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.


Empat ADUN itu iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan tiga writ saman pada 2020 terhadap DUN dan Speakernya untuk mencabar usul yang diperkenalkan pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil yang akan diadakan.

Next Post Previous Post