Ahli Parlimen tolak usul kerajaan dianggap letak jawatan

Gabungan Kerajaan Perpaduan mengundi atau menyokong Perdana Menteri, Ahli Parlimen tolak usul kerajaan dianggap letak jawatan

PUTRAJAYA—Kegagalan mana-mana Ahli Parlimen dalam gabungan Kerajaan Perpaduan mengundi atau menyokong Perdana Menteri dalam usul berkaitan usul percaya, perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan, dikira sebagai meletak jawatan. 


Perkara tersebut antara yang terkandung dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara gabungan Kerajaan Perpaduan yang dimeterai hari ini. 


Ia terkandung dalam perkara 4 di bawah tajuk Usul Percaya dan Rang Undang-Undang Perbekalan. 


"Setiap parti-parti dan pihak-pihak hendaklah memastikan bahawa setiap Ahli Parlimen mereka mengundi menurut klausa 4 (a) di atas.


"Kegagalan, keengganan atau kecuaian dari berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu, yang dianggap sebagai peletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen," menurut perjanjian itu, lapor Bernama.


Lima gabungan parti politik utama negara - Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) - yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama di sini, hari ini, bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.


Selain itu, di bawah perkara 5 perjanjian itu, sebuah Majlis Perundingan yang dianggotai wakil yang diperakukan oleh parti-parti utama iaitu PH, BN, GPS, GRS dan Warisan akan diwujudkan.


Majlis itu berperanan memastikan segala terma yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan cermat dan teratur agar Kerajaan Perpaduan dapat berfungsi dengan stabil dan berkesan, tanpa menjejaskan dasar, polisi dan orientasi parti yang bersetuju membentuk kerjasama itu. 


"Sebarang perselisihan dan salah faham hendaklah diselesaikan secara harmoni melalui Majlis ini," menurut perjanjian itu. 


Perjanjian tersebut turut menggariskan persepakatan iaitu parti terlibat bersetuju menjunjung kebenaran yang utuh dan dengan penuh kesetiaan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.


Menerusi perjanjian itu, parti terbabit juga mengisytiharkan komitmen mereka terhadap matlamat Kerajaan Perpaduan iaitu mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara.


Komitmen turut dilafazkan bagi mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, memperkukuh demokrasi berparlimen dan mendukung hak serta kuasa rakyat dan berusaha memantapkan sistem politik negara yang sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat.


Parti-parti juga sepakat memelihara Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.


Perjanjian itu juga menyaksikan kesepakatan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, di samping menjamin hak rakyat mengguna, mempelajari dan mendapat pendidikan dalam bahasa-bahasa lain seperti termaktub dalam perkara 152 (tertakluk kepada Perkara 161) Perlembagaan Persekutuan.


Perjanjian itu turut sepakat memperkuatkan dan mengupayakan pemisahan kuasa di antara cabang-cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman Kerajaan Persekutuan, supaya satu sistem pemerintahan yang mempunyai timbang tara yang kuat dapat dipupuk demi mengelakkan pemusatan kuasa dan penyelewengan. 


Turut disepakati ialah jaminan kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dalam acuan Malaysia, ke arah membentuk masyarakat majmuk yang mengutamakan kemuliaan insan, nilai persaudaraan sejagat sesama insan.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.