Angka kematian minum arak tiruan di India meningkat kepada 53

Ratusan orang di India kebanyakannya miskin maut setiap tahun akibat meminum minuman keras beracun yang mengandungi metanol. Gambar hiasan kredit DNA

NEW DELHI— Bilangan yang maut selepas minum arak tiruan di negeri Bihar, timur India meningkat kepada 53 orang, kata polis pada Jumaat.


Beberapa orang masih dirawat di hospital. Tiada kes baharu dilaporkan sejak petang Khamis.


Pasukan khas mula menyiasat kes itu di kawasan Chhapra di daerah Saran, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) yang memetik seorang pegawai polis tempatan.


Laporan pertama diterima pada Selasa apabila ramai yang dibawa ke hospital selepas mengalami kekejangan perut, muntah dan penglihatan kabur, kata pihak berkuasa tempatan.


"Kami juga telah melakukan serbuan di seluruh daerah dalam tempoh 48 jam lalu dan menahan 126 peniaga alkohol tiruan. Lebih 4,000 liter minuman keras juga telah dirampas," lapor NDTV memetik majistret daerah Saran Rajesh Meena, lapor Bernama.


Bihar adalah antara beberapa negeri di India yang mengharamkan pembuatan, penjualan dan pengambilan alkohol.


Ia diharamkan sejak 2016 sejurus sebelum pilihan raya daerah atas tuntutan kumpulan wanita yang mendakwa kaum lelaki membazirkan pendapatan mereka yang terhad untuk membeli alkohol.


Banyak laporan kematian diterima dari Bihar dan Gujarat, sebuah lagi negeri yang turut mengharamkan alkohol, akibat minum alkohol tiruan yang dikilangkan secara haram.


Di India, ratusan orang kebanyakannya miskin maut setiap tahun akibat meminum minuman keras beracun. Harganya lebih murah berbanding alkohol komersial, namun selalunya mengandungi metanol atau bahan lain yang boleh menyebabkan keracunan teruk.

Next Post Previous Post