Siapa Perdana Menteri Ke-10 masih samar, Ahmad Zahid 'terkantoi' menipu berkaitan aku janji



KUCHING-- Gabungan yang akan mentadbir negara masih samar-samar setelah Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian bahawa BN tidak memutuskan untuk bekerjasama dengan PN untuk menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 


Presiden UMNO itu turut menegaskan akan memecat keahlian ahli-ahli parti sekiranya Ahli-ahli Parlimen BN menyokong PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10. 


Pada masa yang sama Ahmad Zahid turut menafikan pernah berunding dengan GPS untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama PN.


Katanya, tiada sebarang rundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud adanya persefahaman penubuhan kerajaan bersama gabungan tersebut.


“Kesemua Ahli Parlimen BN yang memenangi PRU-15 telah menandatangani aku janji dan memberikan mandat kepada saya selaku Presiden (Umno) untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.


“Sehubungan itu, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.


Terdahulu Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata mereka bersetuju membentuk Kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu PN, BN, dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Menurutnya, keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.


Katanya, GPS juga bersetuju Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.


Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau mempunyai sokongan yang mencukupi daripada parti dan beberapa Ahli Parlimen untuk membolehkan dirinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10.


Katanya, keyakinan itu diperoleh susulan pertemuannya dengan Abang Johari dan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor pagi tadi.


Beliau mendedahkan, kedua-dua pemimpin itu serta beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain telah memberi komitmen untuk menyokongnya sebagai Perdana Menteri.


Mengulas tentang kemelut pasca PRU15 itu, penganalisis politik Azizi Safar mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang bertindak mengugut pemecatan keahlian Ahli-ahli Parlimen dari BN jika memberi sokongan kepada Muhyiddin. 


"Apakah Ahli-Ahli Parlimen akan hilang kerusi sekiranya dipecat oleh parti mereka?


"Apa kata undang-undang Anti Lompat Parti; (2) Seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu menurut Perkara ini hanya disebabkan oleh- (c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya," jelasnya.


Bagaimanapun, sebelum ini Ahmad Zahid pernah menafikan kewujudan aku janji yang dikatakan telah ditandatangani berkenaan. 


Ini jelas menunjukkan Ahmad Zahid cuba memutarbelitkan keadaan yang terang-terang bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini. 


Selain itu, rakan komponen BN, MCA turut meminta Ahmad Zahid meletakkan jawatan secara terhormat atas kekalahan teruk BN pada PRU15 ini. 


Pada masa yang sama, 20 Ahli-ahli Parlimen BN didakwa telah menyerahkan surat akuan bersumpah kepada Muhyiddin untuk menyokong kerjasama dalam membentuk kerajaan dan sebagai Perdana Menteri Ke-10. 


Sementara itu, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa beliau telah memperolehi sokongan majoriti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Next Post Previous Post