Rubiah dijangka menang mudah, calon Amanah ada rekod hilang deposit


KOTA SAMARAHAN-- Kerusi Parlimen Kota Samarahan berkemungkinan dimenangi mudah oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) apabila lawannya iaitu bakal calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang ditampilkan pernah merekodkan kekalahan hilang deposit pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 lalu. 


Dengan mengekalkan penyandang Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dilihat tidak menghadapi masalah untuk menang bertemu Abang Abdul Halil Abang Naili (Amanah) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini. 



Ini kerana Abang Halil pernah hilang deposit ketika bertanding melawan Dato Idris Buang di DUN Muara Tuang termasuk seorang lagi calon PAS Zulkipli Ramzi yang juga menerima nasib yang sama. 


Malah, Abang Halil juga dipetik berkata parti itu tidak serik untuk bertanding pada pilihan raya kerana mahu mencuba nasib. 


Untuk rekod Amanah tewas di kesemua kerusi DUN pada PRN-12 lalu dan PRN-11.


Sebelum ini, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata Abang Halil antara 54 calon parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15 ini. 


Sementara itu, Rubiah berkata, Parlimen Kota Samarahan adalah tempat kelahiran dan beliau akan melakukan yang terbaik untuk membangunkan kawasan tersebut. 


"Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat kita lahir, membesar, bekerja dan Insya-Allah llah tempat kita akan bersemadi. 


"Sebagai anak watan Kota Samarahan, sudah pastinya saya ingin lakukan yang terbaik kepada kawasan yang sangat penting dan bernilai bagi diri saya.


"Sepanjang tempoh dua penggal saya diberikan kepercayaan sebagai Ahli Parlimen di sini, saya cuba mengisi masa yang ada untuk menyantuni penduduk-penduduk di kawasan menerusi berbagai-bagai program supaya saya boleh mendapatkan idea dan juga pandangan mereka untuk membangunkan Kota Samarahan," katanya dalam hantaran Facebook rasminya. 


Jelasnya, dari program lawatan sehingga ke program santai-santai, beliau cuba penuhi kesemua undangan daripada masyarakat setempat kerana percaya klien utamanya ialah rakyat di Kota Samarahan.


"Kerana siapa lagi hendak kita harapkan kalau bukan diri kita sendiri. Saya lahir dari kalangan keluarga pasangan petani, membesar dengan serba serbi kekurangan dan kadang-kadang hanya mampu melihat keseronokan rakan-rakan lain yang duduk di bandar raya.


"Pengalaman hidup sebeginilah yang memotivasikan saya supaya berusaha sebaik mungkin mengubah lanskap ekonomi dan juga pembangunan infrastruktur supaya adik kakak kita di Samarahan dapat mengecapi hidup yang lebih sempurna dan mampu membesarkan anak-anak dengan sebaik mungkin.


"Insya-Allah, selagi ada daya dan kekuatan saya akan terus berusaha memberikan khidmat yang terbaik kepada Kota Samarahan dan warganya," ujarnya.

Next Post Previous Post