Notification

×

Iklan

Iklan

PRU15: Manifesto menarik, tapi bolehkah ditunai? Soal pengundi muda

| November 17, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-17T02:57:47Z
Calon yang bertanding perlu bersih dan merupakan seseorang yang mengutamakan rakyat berbanding mengkayakan diri mereka sendiri setelah mendapat kuasa - anak muda. Gambar hiasan

KLUANG-- Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lepas menjadi pentas pertama anak muda berusia 18 hingga 20 tahun keluar mengundi, sekali gus melakar sejarah penglibatan langsung kumpulan itu dalam landskap politik negara.


Beberapa bulan kemudian, golongan muda ini sekali lagi menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang dianggap penting untuk pembentukan kerajaan baharu.


Kebanyakan anak muda yang ditemui di daerah ini menyatakan hasrat untuk mempunyai wakil rakyat yang dapat menjalankan tanggungjawab di kawasan dengan baik dan bersedia bekerja keras selepas mendapat mandat rakyat pada PRU15.


Pelajar institut pengajian tinggi swasta, Muhammad Ikmal Ahmad Ikhsan, 22, berkata senario politik semasa mengajar mereka untuk meneliti setiap calon yang bertanding terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memberi sokongan.


“Semua gabungan parti politik bertanding mempunyai manifesto menarik tetapi persoalannya, mampukah mereka mengotakan janji mereka kepada kami yang meletakkan seluruh harapan kepada mereka?


“Bagi saya mudah, untuk anak muda seperti kami, paling diinginkan ialah peluang menyambung pelajaran, peluang pekerjaan, isu capaian internet, harga rumah mampu milik serta ahli politik yang tidak ambil hak rakyat, sudah cukup mengembirakan hati kami,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sesi Joms! Santai Orang Muda Sembrong, dekat sini, baru-baru ini.


Bagi seorang peniaga, Haswan Azran Md Diah, 26, yang pertama kali mengundi pada PRU15 susulan pelaksanaan pendaftaran secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpendapat, isu ahli politik mempunyai rekod buruk dan terlibat salah guna kuasa serta rasuah perlu diketepikan kerana ia tidak memberi manfaat kepada pembinaan negara.


“Tidak kisahlah dari pihak kerajaan atau pembangkang, calon akan bertanding perlu bersih dan merupakan seseorang yang mengutamakan rakyat berbanding mengkayakan diri mereka sendiri setelah mendapat kuasa,” katanya.


Berkongsi pendapat, bakal doktor perubatan menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam, Ayla Sofea Mohd Darus, 24, berkata golongan muda masa kini adalah generasi Z yang sangat terdedah kepada media sosial dan mampu mendapatkan maklumat hanya di hujung jari.


“Apabila sesuatu isu melibatkan golongan muda menjadi tular, banyak pihak mengeluarkan kenyataan menerusi media sosial. Kami mudah untuk mengikuti perkembangan terbabit dan dapat menilai ahli politik mana lebih efisien dalam menangani isu berkaitan orang muda.


“Selain itu, isu-isu yang dekat dengan golongan muda seperti menawarkan jawatan tetap berbanding kontrak, menjaga kebajikan rider (penghantar makanan) serta mengawal harga barang yang semakin naik dan tidak turun-turun itu sekiranya menjadi fokus dalam sesebuah parti politik, ia mampu menarik golongan muda untuk menyokong mereka,” katanya.


Menurut statistik dikeluarkan SPR, sebanyak 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun di seluruh negara akan mengundi pada PRU15 ini.


Sejumlah 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18-20 tahun manakala 4,614,429 pengundi berusia antara 21-29 tahun.


Mengikut pecahan parlimen, Parlimen Sungai Buloh, Pensiangan dan Tebrau antara yang mempunyai pengundi muda terbanyak.

×
Berita Terbaru Update