Letupan SSGP di Lawas: JKR arah kerja tapak projek jalan Sarawak-Sabah dihentikan


KUCHING-- Kerja-kerja pembersihan di tapak laluan pembinaan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dihentikan sementara susulan kebakaran saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) di Long Ugui semalam.


Unit Lebuhraya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata, arahan itu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.


"Insiden ini telah meragut satu nyawa manakala dua lagi cedera.


JKR Sarawak akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak yang berkaitan dalam membantu siasatan insiden ini secara menyeluruh", katanya dalam kenyataan hari ini.


Punca sebenar insiden kebakaran in masih dalam siasatan.


Sementara itu, mangsa yang maut seorang lelaki warganegara Indonesia, Hadi Wiyono, manakala dua lagi lelaki cedera dikenali Hendrick dan Gabriel Meripa.


Umur ketiga-tiga mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 2.49 petang dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi kejadian.


"Setibanya di lokasi, didapati  kebakaran melibatkan gas pipe line milik Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP).


"Keluasan kebakaran dan letupan dianggarkan pada jarak radius 400 meter, kebakaran turut melibatkan sebuah jengkaut, jentolak dan motosikal," katanya dalam kenyataan.


Katanya, pasukan Bomba mengalami kesukaran ke lokasi kerana jalan ke lokasi tidak dapat dilalui oleh jentera. 


"Perjalanan ke lokasi hanya menggunakan kenderaan Nissan Navara serta membawa peralatan operasi bergerak ke lokasi kejadian. 


"Kerja-kerja pemadaman menggunakan dua unit alat pemadam api untuk pemadaman kebakaran jengkaut kerana tiada sumber air terbuka di lokasi," ujarnya.


Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.


 *PETRONAS sahkan insiden letupan di Lawas* 


Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan PETRONAS mengesahkan insiden kebakaran yang berlaku melibatkan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) berhampiran KP 132 di Lawas hari ini.


Bahagian Komunikasi Media, Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS dalam kenyataannya berkata, insiden dipercayai berpunca daripada kerja-kerja yang dijalankan oleh pihak ketiga berdekatan kawasanizinlalu (Right-of-Way) SSGP dan kerja-kerja tersebut tiada kaitan dengan operasi saluran paip tersebut.


"Laporan polis telah dibuat dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan.


"PETRONAS telah menggerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan ke kawasan insiden dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan komuniti dan kawasan sekitar," kata kenyataan itu.

Next Post Previous Post