Notification

×

Iklan

Iklan

Pengundi harap PRU15 hasilkan kerajaan cakna derita rakyat

| November 02, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-02T02:57:58Z
Kerajaan baharu diharap dapat melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar kepada kumpulan  B40 dan M40 melalui kaedah e-tunai atau e-dompet untuk membeli barang keperluan harian. Gambar hiasan 

KUALA LUMPUR— Harapan Noor Azuki Fahme Ismail pada pilihan raya kali ini hanya satu; menghasilkan sebuah kerajaan yang benar-benar dapat menangani isu peningkatan kos sara hidup yang kini semakin menghimpitnya.


Berpendapatan isi rumah sekitar RM5,200 sebulan meletakkan dia dalam kelompok sederhana M40, namun, kehidupannya sekeluarga di tengah-tengah kota raya ini bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, walhal dia hanya mempunyai keluarga kecil dengan seorang anak berusia tujuh bulan.


“Sebelum pandemik COVID-19, biasanya saya membelanjakan kira-kira RM400 sahaja sebulan untuk barang dapur termasuk susu anak, tetapi sekarang sudah meningkat hingga RM600 bagi barangan sama… belum lagi perbelanjaan lain seperti bayaran pinjaman perumahan dan kenderaan serta pengasuh anak,” keluh penjawat awam berusia 34 tahun itu kepada Bernama.


Menurutnya, disebabkan kos kehidupan yang semakin mencengkam, dia terpaksa mengizinkan isterinya bekerja sejak awal tahun ini walaupun berasa bimbang meninggalkan anak yang masih kecil di pusat asuhan, selain dia sendiri melakukan kerja sampingan.

 

KEBIMBANGAN UTAMA

 

Keluhan Noor Azuki Fahme hakikatnya mewakili suara jutaan rakyat, dan  keterdesakan hidup yang merentasi golongan B40 dan M40 ini, terutama yang tinggal di bandar besar, disokong oleh hasil kajian lima organisasi media - Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban -, bersama-sama tiga firma penyelidikan, iaitu Ilham Centre, 02 Research Malaysia dan Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies.


Kajian yang bermula dari Jun hingga 9 Okt lalu mendapati kos sara hidup dan harga barang, memulihkan kembali ekonomi negara, soal pendidikan dan kestabilan politik adalah perkara utama yang perlu diselesaikan oleh pemimpin negara.


Namun, keadaan ekonomi global yang diunjur oleh Bank Dunia  berisiko mengalami kemelesetan pada tahun depan, mungkin menjadi cabaran utama kerajaan yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini dalam menyelesaikan kebimbangan utama rakyat tersebut.  


Ini kerana kata pakar ekonomi, kadar inflasi, iaitu antara punca peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, dijangka terus meningkat.


Mengulas isu itu, Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, berkata walaupun kadar inflasi terkini Malaysia  ialah 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus pada Ogos, berdasarkan perkembangan semasa, ia berpotensi melonjak semula dalam masa terdekat.


“Antara punca inflasi berpotensi meningkat ialah kebergantungan negara terhadap barangan import, terutama makanan, dengan nilai import mencecah RM63 bilion (pada 2021) dan berpotensi meningkat kepada RM70 bilion pada 2022.


“Selagi kita terus bergantung pada barangan import, selagi itulah masalah kenaikan harga barang tidak akan selesai dan kos membeli barang keperluan harian akan terus membebankan orang ramai,” ulasnya kepada Bernama. 


Pada masa sama katanya, penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika memburukkan lagi keadaan.


Menurutnya, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak dua kali tahun ini dalam usaha mengukuhkan kedudukan kewangan negara serta memacu pertumbuhan ekonomi, turut memberi kesan langsung kepada rakyat yang mempunyai pinjaman di institusi perbankan.


Mereka kini menanggung bayaran balik pinjaman pada kadar lebih tinggi, sekali gus menjejaskan lagi perbelanjaan isi rumah yang kuasa belinya sudahpun terkesan oleh kenaikan harga barang, jelas beliau.


(Dalam bahasa mudah, OPR antaranya memberi kesan kepada kadar faedah terhadap deposit dan juga pembiayaan membabitkan institusi kewangan.)  

 

LANGKAH SEGERA

 

Berpendapat penurunan kadar inflasi akan mengambil masa, Anuar Shah menyarankan kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRU15 kelak mengambil langkah segera bagi menampung keperluan makanan rakyat dalam masa terdekat.


Antaranya ialah merancakkan penanaman sayur-sayuran berskala besar yang berpotensi mengeluarkan hasil dalam tempoh kurang daripada enam bulan, dan untuk tujuan itu, kerajaan kata beliau, boleh “meminjamkan” tanahnya secara percuma selama dua tahun kepada belia yang berminat menceburi bidang pertanian. 

  

“Usaha sebegini mampu menampung keperluan makanan rakyat sekiranya berlakunya krisis luar biasa pada masa akan datang, “ katanya. 


Selain itu, beliau juga mengesyorkan kerajaan memperkasa entiti koperasi yang baginya sangat berpotensi dalam membantu mengawal kenaikan harga barang.


Mengambil contoh konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang pernah diperkenalkan sebelum ini, Anuar Shah berkata ia boleh dijenamakan semula dengan pembabitan koperasi agar ia boleh diperluas selain menawarkan lebih banyak barangan runcit pada harga mampu milik.


“Kerajaan boleh bantu dengan memberikan peruntukan serta insentif khas dan memperkenalkan semula kedai serbaneka atau kedai runcit yang diuruskan koperasi bersepadu. Cuma, rakyat mengharapkan ia mudah diakses dan berdekatan dengan kawasan perumahan,” katanya.


Beliau juga mencadangkan kerajaan baharu yang bakal dibentuk nanti melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar kepada kumpulan  B40 dan M40 melalui kaedah e-tunai atau e-dompet yang  hanya boleh digunakan untuk membeli barang keperluan harian termasuk gas memasak, petrol atau diesel dan menjelaskan bil utiliti.

 

ATASI PENGANGGURAN 

 

Selain kos sara hidup, masyarakat juga gusar dengan isu pengangguran pascapandemik COVID-19 yang masih lagi tinggi, khususnya dalam kalangan siswazah baharu.


Pemain industri katering Ammar Hasbullah melihat peningkatan trend lepasan universiti terlibat dalam ekonomi gig yang baginya kurang sesuai dilakukan dalam tempoh yang lama. 


 “Bagi saya, ekonomi gig ini hanya satu penyelesaian sementara disebabkan bidang ini kurang jaminan masa depan kerana tidak ada insurans (kesihatan), (simpanan) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan (insurans sosial) Pertubuhan Keselamatan Sosial.


“Justeru, kerajaan baharu kelak perlu mencari jalan terbaik menyelesaikan isu lambakan siswazah di pasaran  dan mereka yang bekerja dalam ekonomi gig,” ujarnya.


Media melaporkan kadar pengangguran setakat Julai 2022 ialah 3.7 peratus berbanding 4.5 peratus bagi tempoh sama pada 2021 dan 4.2 peratus pada Januari 2022.


Walaupun bertambah baik, isu itu masih merunsingkan, lebih-lebih lagi data terkini kebolehpasaran graduan selepas pandemik hanya menunjukkan peningkatan kecil.


Mengikut data Kementerian Pengajian Tinggi bagi 2018-2021, kebolehpasaran graduan pada 2021 meningkat kepada 85.5 peratus berbanding 84.4 peratus pada 2020, namun peningkatan 1.1 peratus itu belum dapat menandingi kadar kebolehpasaran graduan sebelum pandemik, iaitu 86.2 peratus pada 2019.


Selain itu, isu ketidaksepadanan pekerjaan dengan kelulusan akademik juga masih belum diatasi apabila kebanyakan siswazah baharu hanya menerima gaji sekitar RM2,000 dan ke bawah, sedangkan BNM pada 2016, menganggarkan seorang dewasa bujang memerlukan gaji sekurang-kurangnya RM2,700 sebulan bagi menjalani kehidupan wajar di ibu negara.

 

 PERLUAS PELUANG PERNIAGAAN

 

Bagi pemerhati politik Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, isu pengangguran siswazah perlu ditangani segera memandangkan institusi pengajian tinggi mengeluarkan ribuan graduan saban tahun.


Menurut Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia itu, usaha yang diambil oleh kerajaan sebelum ini masih belum mencukupi dalam mengatasi isu kebanjiran siswazah menganggur.


Antara langkah yang perlu dipertimbang kerajaan ialah meningkatkan penawaran inisiatif seperti pinjaman bagi menggalakkan golongan itu menceburi bidang seperti perniagaan, penternakan dan pertanian, katanya.


“Untuk galakkan mereka ceburi bidang agromakanan, kerajaan boleh berikan bantuan berupa anak kambing atau lembu untuk diternak manakala pertanian seperti sawit, cili dan durian perlu dibuka kepada graduan yang berminat dalam sektor ini.


“Saya juga melihat keperluan kerajaan memberi penekanan bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) kerana mereka yang dalam bidang ini mudah mencipta pekerjaan sendiri tanpa mengharapkan pekerjaan makan gaji,” katanya yang juga mengharapkan insentif sesuai diberikan kepada mereka untuk memulakan perniagaan. 


Sehubungan itu, beliau berharap parti-parti politik yang akan bertanding pada PRU15 ini tidak lagi menawarkan manifesto “gula-gula” yang sebenarnya tidak realistik untuk dilaksanakan, hanya semata-mata mahu memancing undi, terutama pengundi muda yang bakal memilih buat pertama kali.


“Contoh, untuk turunkan harga minyak petrol adalah tidak realistik kerana banyak perkara perlu dilihat untuk memastikan ia dapat dilaksanakan, dan ini termasuk menambah jumlah subsidi petrol yang mana impaknya kurang baik kepada kewangan negara.


"Oleh itu, pastikan manifesto yang dirangka adalah konkrit serta mempunyai langkah penyelesaian masalah (terhadap isu-isu utama) yang boleh dilaksanakan segera,” katanya. 

×
Berita Terbaru Update