Seramai 923 mangsa banjir dipindahkan di Sabah


KOTA KINABALU—Seramai 923 mangsa banjir daripada 301 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah pagi ini, meningkat berbanding 801 mangsa daripada 248 keluarga malam tadi.


Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan Tenom, sebuah daerah di pedalaman negeri, paling terjejas dengan 396 mangsa banjir daripada 125 keluarga dipindahkan di lima PPS di daerah itu, lapor Bernama.


Rumah Kebudayaan Makakagas menempatkan 117 mangsa daripada 32 keluarga; Rumah Kebudayaan Kalang Kanar (29 mangsa, tujuh keluarga); Rumah Kebudayaan Gunting (33 mangsa, tujuh keluarga); Rumah Kebudayaan Pagukon (200 mangsa, 73 keluarga); dan Kompleks Sukan Tenom (17 mangsa, enam keluarga).


“Trend semasa pemindahan mangsa dan bencana banjir di Sabah ketika ini adalah kekal, manakala cuaca baik di kebanyakan kawasan di Sabah pagi ini,” kata kenyataan itu.


Sementara itu di Keningau, sebanyak 327 mangsa daripada 120 keluarga dipindahkan melibatkan PPS di Dewan Gereja Kampung Senangang (215 mangsa, 68 keluarga); dan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2 (112 mangsa, 52 keluarga).


Menurut kenyataan itu, di Sipitang seramai 129 mangsa banjir membabitkan 43 keluarga dipindahkan membabitkan PPS di Dewan Mini Mesapol (48 mangsa, 16 keluarga); dan Dewan Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Chung Hwa Mesapol (81 mangsa, 27 keluarga).


PPS di Dewan Kampung Airport Tun Fuad di Kunak menempatkan 62 mangsa daripada 12 keluarga manakala Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang menempatkan sembilan mangsa daripada satu keluarga.


Menurut ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, ribut petir di satu dua tempat terutama di kawasan pedalaman diramal berlaku pada sebelah petang dan malam di Sabah.


Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebuah jambatan di Jalan Amboi Satu, Tenom mengalami kerosakan serius dan pihaknya mengambil tindakan untuk menutup jambatan itu kepada semua jenis kenderaan.


“Orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Tenom-Kuala Tomani, Jalan Amboi 2, dan Jalan Cinta Mata, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa memastikan keselamatan diri apabila berdepan dengan air banjir yang melimpah ke jalan raya,” menurut JKR.


Sementara itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan memaklumkan laluan Beaufort-Halogilat-Beaufort tidak beroperasi disebabkan banjir di kawasan Jimpangah KM98.6, dan perkhidmatan akan beroperasi semula sekiranya air mulai surut.


Menurutnya laluan Tenom-Halogilat-Tenom juga tidak beroperasi akibat kejadian tanah runtuh di KM130-137/7, dan kerja-kerja baik pulih sedang dilaksanakan.

Next Post Previous Post