Mangsa banjir Kampung Patarikan menginap di hotel

Limpahan Sungai Sindumin sejak semalam menyebabkan sebanyak 75 buah rumah di Kampung Patarikan dinaiki air. Gambar kredit BBP Lawas 

LAWAS— Seorang wanita warga emas terpaksa dipindahkan ke rumah saudaranya malam tadi susulan banjir yang melanda Kampung Patarikan sejak petang Selasa.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim, berkata operasi memindah mangsa berusia 56 tahun  itu dilakukan jam 10.50 malam ke rumah saudaranya di Kampung Kuala Lawas.


Anggota BBP Lawas mengadakan pemantauan situasi banjir di Kampung Patarikan. Gambar kredit BBP Lawas 


Katanya, banjir yang  berlaku  susulan limpahan Sungai Sindumin, Sipitang, Sabah menyebabkan 75 buah rumah melibatkan 260 orang  penduduk kampung dinaiki air sedalam tiga hingga empat kaki.


“Pihak kita menerima panggilan mengenai banjir itu  jam 5.02 petang Selasa.


Bagaimanapun  keadaan banjir masih terkawal dan penduduk kampung  tidak mahu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Gambar kredit BBP Lawas 


Azman memberitahu hanya sebuah keluarga membabitkan  lapan penghuni  berpindah dan menginap di hotel di Lawas. 


Katanya Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Jabatan Kebajikan dan Masyarakat  dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dimaklumkan berkaitan insiden dan  bersedia untuk pembukaan PPS jika perlu. 


“Pemantauan dilakukan menggunakan bot  dan penduduk kampung dinasihatkan supaya berpindah segera  sekiranya trend air semakin menaik,”katanya.

Next Post Previous Post