Sindiket seludup 6 warga India, pegawai imigresen ditahan
KUALA LUMPUR— Seorang pegawai imigresen ditahan kerana disyaki membawa enam lelaki warga India memasuki negara ini tanpa dokumen sah dalam sindiket menyeludup warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang, dekat sini semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata enam lelaki India itu turut ditahan pada 7.45 malam, lapor Bernama.
Beliau berkata kesemua warga asing berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun itu, cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi.
"Modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan menawarkan e-visa palsu kepada mereka untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong.
“Sindiket akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah mereka pelancong tulen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata pegawai imigresen berusia 31 tahun itu didapati bersubahat dalam sindiket itu dengan menurunkan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing tersebut ke dalam sistem myIMMs.
Menurutnya berdasarkan maklumat risikan, sindiket tersebut dipercayai beroperasi sejak April lepas dengan mengenakan bayaran antara RM5,000 dan RM,6000 kepada setiap pelawat.
"Kesemua warga asing terbabit disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah, manakala pegawai imigresen itu pula akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 setelah perintah reman diperoleh,” katanya.
Menurutnya Jabatan Imigresen akan terus meningkatkan usaha perisikan serta operasi bagi membenteras kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
“Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak walaupun ia melibatkan pegawai kami sendiri.
"Mereka yang didapati bersalah akan menerima hukuman sewajarnya di bawah undang-undang berkaitan,” katanya.
-- BERNAMA