Notification

×

Iklan

Iklan

Anak Najib antara 25 calon muka baharu DUN BN Pahang

| November 02, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-02T07:55:57Z
Mohd Nizar akan bertanding di kerusi DUN Peramu Jaya

KUANTAN—Anak sulung bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar sah akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas beliau diumumkan sebagai antara 25 calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang. 


Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan Mohamad Nizar yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Pekan sebagai calon DUN Peramu Jaya, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, lapor Bernama.


Penyandang DUN Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali) pula telah diumumkan sebagai calon BN untuk Parlimen Pekan, yang sebelum ini disandang Najib. 


Turut menjadi calon muka baharu BN ialah Setiausaha Akbar Menteri Besar Pahang yang juga pernah menjadi Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, iaitu Fadzli Mohamad Kamal yang akan bertanding di DUN Dong.


Pengumuman calon BN DUN Pahang di sini hari ini, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang telah diumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera yang disandangnya sejak 2004. 


Selain itu, Wan Rosdy berkata calon baharu di DUN Pahang ialah Wong Yah Wah (Tanah Rata), Lim Teck Hoe (Tras), Faezah Ishak (Tahan), Muhammad Fasal Jamlus (Damak), Datuk Mustaffar Kamal (Beserah), Khairul Hisham Omar (Semambu), Tee Choon Ser (Teruntum), Nara @ Nikmat Nordin (Tanjung Lumpur) dan Datuk Umar Arbain Dollah (Sungai Lembing).


Turut kali pertama dicalonkan ialah Fauziah Abd Wahab (Panching), Jamaluddin Md Marzuki (Luit), Mohd Khairudin Mohd Ali Hanafiah (Kuala Sentul), Saiful Anuar Mokhtar (Chenor), Datuk Rodzuan Zaaba (Jenderak), Datuk Ramzi Sudin (Lanchang) serta Wong Siew Mun (Bilut).


Calon baharu lain ialah Datuk Amizar Abu Adam (Ketari), Datuk Seri Johari Harun (Pelangai), Datuk Sabariah Saidin (Guai), Yee Cheng Hwa (Triang), Khaizulnizam Mohamad Zuldin (Kemayan), Norhasmimi Abdul Ghani (Jengka) dan Wong Tze Shiang (Mentakab).


Daripada 42 DUN di Pahang, UMNO setakat ini akan bertanding di 34 kerusi, MCA enam kerusi manakala calon bagi dua DUN iaitu Cheka dan Sabai tidak diumumkan pada pengumuman hari ini. 


Berdasarkan pengumuman calon, seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) digugurkan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Datuk Seri Norolazali Sulaiman yang merupakan penyandang DUN Guai. 


Dua lagi Exco iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin yang merupakan penyadang DUN Lanchang telah diumumkan akan bertanding di Parlimen Temerloh manakala Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin ke Parlimen Maran selepas tiga penggal di DUN Kuala Sentul. 

×
Berita Terbaru Update