Cuaca, kekurangan buruh mungkin ganggu bekalan dan permintaan minyak sawit pada 2023
Cuaca, buruh dan kestabilan mata wang akan memberi kesan kepada landskap keseimbangan bekalan dan permintaan minyak sawit. Gambar hiasan. |
KUALA LUMPUR— Keadaan minyak sawit dijangka kekal tidak menentu pada 2023 memandangkan faktor-faktor tertentu seperti cuaca, buruh dan kestabilan mata wang akan memberi kesan kepada landskap keseimbangan bekalan dan permintaan minyak sawit.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata pihaknya menjangkakan gangguan bekalan minyak sawit mentah (MSM) pada suku pertama 2023 akibat daripada ribut tropika di Malaysia, yang mana banjir akan menjejaskan penuaian di ladang-ladang kelapa sawit.
“Harga pasaran dijangka kekal kukuh berikutan kebimbangan cuaca buruk yang menjejaskan pengeluaran di kedua-dua negara utama minyak sawit iaitu Malaysia dan Indonesia,” katanya semasa dalam pembentangan beliau di Seminar Internet Minyak Sawit (Pointers) hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata situasi buruh di ladang kelapa sawit semakin memburuk sejak 2020 apabila kerajaan Malaysia menangguhkan sementara pengambilan pekerja asing bagi mengawal penularan COVID-19.
Keputusan itu katanya telah menjejaskan pengeluaran MSM Malaysia dengan teruk dan sektor perladangan berharap sekurang-kurangnya ia meningkat sedikit berbanding tahun lepas kerana sektor itu sangat bergantung kepada pekerja asing.
“Saya rasa situasi buruh dalam sektor perladangan kelapa sawit masih belum pulih dengan signifikan walaupun penggantungan itu telah ditarik balik, tetapi proses pengambilan akan mengambil sedikit masa.
Bagaimanapun, sejak dua bulan lalu kami telah mula menyaksikan kemasukan pekerja asing dan pengeluaran meningkat sedikit, ia juga disebabkan oleh musim kemuncak bagi minyak sawit tempatan,” katanya.
Mengenai prospek minyak sawit Malaysia, MPOB meramalkan mata wang ringgit, yang berterusan jatuh berbanding dolar AS, akan terus menjadikan harga minyak sawit lebih murah untuk dieksport, seterusnya menggalakkan lagi permintaan.
Lembaga itu juga mengharapkan China meningkatkan import minyak sawit dan republik itu akan melonggarkan secara beransur-ansur dasar sifar Covid yang menjadi penghalang kepada penggunaan dan permintaan komoditi tersebut.
China sedang membangunkan lagi pengeluaran hiliran dengan lebih banyak lagi pelaburan dalam sektor minyak sawit sedang diteroka terutamanya dalam penapisan, lemak khusus dan biodiesel.
“Ini adalah sesuatu (positif) yang kami nanti-nantikan pada tahun depan,” kata beliau.
Mengenai levi eksport Indonesia, Ahmad Parveez berkata sejak Januari 2022, negara itu telah melaksanakan pelbagai dasar yang bertujuan memastikan ketersediaan bekalan dan kestabilan harga.
Stok minyak sawit Indonesia dijangka turun sekitar lima hingga enam juta tan menjelang awal 2023 disebabkan pertumbuhan dalam pengeluaran yang lebih rendah, eksport yang lebih tinggi dan peruntukan untuk biodiesel.
Jangkaan levi eksport yang disambung semula pada 2023 akan meningkatkan harga minyak sawit kerana diskaun harga kepada minyak kacang soya dijangka mengecil.
Sebaliknya, stok minyak sawit Malaysia dijangka meningkat disebabkan persaingan yang sengit dari Indonesia, yang menawarkan harga rendah, menyebabkan permintaan untuk minyak sawit Malaysia menjadi lebih perlahan.
Bagi pasaran global, beliau berkata bekalan minyak bijirin berkemungkinan mengalami pertumbuhan yang lebih besar pada 2022 dan akan dipacu oleh pertumbuhan pengeluaran yang lebih kukuh untuk kacang soya Brazil, kanola Kanada (biji sesawi) dan biji bunga matahari Rusia.
Pengeluaran kacang soya yang lebih rendah daripada jangkaan di Amerika Syarikat meningkatkan pergantungan global terhadap peningkatan bekalan dari Amerika Selatan pada musim 2022/23.
“Pengeluaran di Brazil dan Argentina masing-masing dijangka meningkat sebanyak 16 peratus dan sembilan peratus pada musim 2022/23. Sebaliknya, pengeluaran di AS dijangka berkurangan sebanyak 16 peratus,” tambahnya.
Bertemakan “Mitigating The Next Wave Of Market Uncertainties”, seminar itu menampilkan lapan pembentangan merangkumi topik seperti kepentingan minyak sawit dalam situasi minyak makan yang tidak menentu, prestasi industri minyak sawit, pendekatan untuk mengatasi cabaran minyak sawit global dan hab minyak sawit untuk Afrika Timur.
Seminar empat hari itu akan berakhir pada 18 November.