PRU15: GPS yakin mampu menang 'hampir keseluruhan' kerusi Parlimen Sarawak

Abdul Karim (dua kiri) melawat pameran sempena perasmian Bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak di sini hari ini.

KUCHING—Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu memenangi ‘hampir keseluruhan’ 31 kerusi Parlimen yang ditandingi di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.


Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kepada kemenangan besar gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 pada tahun lepas yang meraih 76 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.


“Kita (GPS) cukup yakin sekali tetapi tidak sampai ke peringkat angkuh,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak di sini hari ini.


“Satu kemenangan cukup membanggakan (PRN), belum berapa lama kini bertembung pula dalam PRU, saya percaya berdasarkan apa yang telah dilalui kita akan memenangi hampir 31 kerusi, kita tahu di mana kedudukan kita sekarang,” katanya.


GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 Nov manakala pengundian awal 15 Nov.

Next Post Previous Post