Batang Lupar: Lubuk Bujang Senang jadi pencetus pembangunan pesisir Sarawak

Ilustrasi Jambatan Batang Lupar yang dijangka siap menjelang 2025 dan akan  menjadi  infrastruktur utama dalam projek Jalan Pesisir Sarawak dari Kuching sehinggalah ke Miri. Gambar kredit Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Sarawak

LINGGA— Sungai Batang Lupar, antara sungai terbesar di Sarawak yang terkenal dengan populasi si Bujang Senang, sang buaya yang suatu ketika pernah mengganas dan meragut nyawa, dikenal pasti sebagai lubuk pembangunan pesisir di Bumi Kenyalang.


Hulu Sungai Batang Lupar bermula dari Batang Ai, tapak nadi pengeluar tenaga hidrolelektrik pertama Sarawak, sebelum menyelusuri ratusan penempatan kampung, rumah panjang, pekan dan bandar sehinggalah diakhiri hilirnya di Sebuyau menjadi sungai ketiga terpanjang di Sarawak dengan kepanjangan 131 kilometer (km).


Ilustrasi Jambatan Batang Lupar yang dijangka siap menjelang 2025 dan akan  menjadi  infrastruktur utama dalam projek Jalan Pesisir Sarawak dari Kuching sehinggalah ke Miri. Gambar kredit Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Sarawak


Lingga merupakan satu daerah yang diselusuri aliran Sungai Batang Lupar, yang terkenal dengan hasil marin khususnya ikan Terubok dan kini sudah menjadi antara produk unik dari Sarawak yang menjadi idaman utama buat pengunjung yang datang ke negeri ini.  


Dek kerana terkenal dengan ikan terubok atau ‘Terubok Lingga’, kini pekarangan tebingan sungai Lingga tersergam indah dengan hiasan ikan terubok sebagai mercu tanda serta identiti Lingga di Parlimen Batang Lupar.


Daerah Lingga yang dulunya sepi dan agak keterbelakang berbanding pekan-pekan yang lain di Sarawak kini telah diberikan nafas baharu sejak 2018 dengan beberapa projek pembangunan yang memanfaatkan rakyat.


Terletak 50km dari bandar Simanggang, perjalanan darat dari pusat pentadbiran bagi Bahagian Sri Aman itu ke pekan Lingga mengambil masa kira-kira satu jam. Sebelum adanya jalan raya, Sungai Batang Lupar itulah yang menjadi nadi penghubung untuk Lingga, selain penempatan kecil Banting dan Engkeranji.


Bagi Dayang Noorazah Awang Sohor, 34, antara anak muda di Lingga, beliau mempunyai hasrat menggunung untuk melihat daerah itu mengorak langkah lebih maju lagi, seiring dengan aspirasi Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.


Hasrat itu semakin terpahat kukuh dalam hati sanubarinya apatah lagi setelah beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak, Disember tahun lalu.


Dalam penampilan sulungnya di Persidangan DUN Sarawak di Kuching Mac lepas, pemegang ijazah perakaunan sudah menunjukkan kesungguhannya untuk melihat kawasan yang diwakilinya menjadi lebih maju dengan pelbagai cadangan pembangunan kemudahan pendidikan serta kemudahan asas lain.


Langkah pembangunan di Lingga semakin rancak sejak dinaik taraf menjadi daerah penuh pada Mac lepas dengan fasa pertama projek tebingan sungai sudah disiapkan dan bakal menjadi pusat untuk penganjuran Regata Lingga dari 2 hingga 4 Dis ini. 


Dayang Noorazah ketika berucap pada program ‘Sarawakku Sayang’, sebuah inisiatif libat urus kerajaan Sarawak bersama rakyat, di Lingga baru-baru ini, berkata berkata penaiktarafan menjadi daerah itu adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk memajukan kawasan itu. 


Beliau berkata setelah projek Jambatan Batang Lupar, yang menelan kos RM848 juta dan kini giat dalam pembinaan siap menjelang 2025 kelak, Lingga akan menjadi tempat persinggahan utama bagi pengguna jalan pesisir Sarawak.


“Sesudah ada jambatan itu nanti, perjalanan dari Lingga dan Sebuyau akan mengambil masa 30 hingga 40 minit. Alangkah seronoknya kerana bukan sahaja Sebuyau, kita boleh terus pergi (menggunakan jalan darat) ke Meludam, Beladin, Pusa, Simunjan atau terus ke Kuching,” katanya, menurut Bernama.


Jambatan Batang Lupar, yang panjangnya kira-kira 7km, akan  menjadi antara jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia selain menjadi antara infrastruktur utama dalam projek Jalan Pesisir Sarawak dengan jarak 896km dari Kuching di selatan negeri itu sehinggalah ke Miri, bandar raya utaranya.


Untuk memajukan lagi daerah luar bandar seperti Lingga, kerajaan Sarawak melaksanakan strategi menubuhkan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dengan peruntukan dana permulaan RM1.5 bilion bagi melaksanakan projek-projek pembangunan.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari, yang mencetuskan idea pembangunan menerusi penubuhan agensi seumpamanya, berkata kerajaan Sarawak mempunyai perancangan jangka panjang dalam usahanya membangunkan kawasan luar bandar seperti Lingga dengan membina jambatan-jambatan kecil serta rangkaian jalan raya menghubungkan kawasan strategik di luar bandar dengan bandar.


Mengunjurkan potensi  sektor pertanian di Lingga, kerajaan negeri menerusi SADA akan terus merancang pelbagai pembangunan yang diperlukan rakyat secara menyeluruh.


“Dalam pembangunan yang menyeluruh ini, kita nampak kawasan Banting dan sekitarnya (berdekatan Lingga) juga boleh menjadi lokasi keselamatan makanan. Untuk menggerakkan sektor itu, kita mahu pembangunan infrastruktur menyeluruh walaupun melibatkan kos tinggi dan menggunakan dana sendiri (dari kerajaan negeri),” katanya.


Pembangunan kawasan di Batang Lupar semakin hangat diperkatakan, apatah lagi sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksiakan Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang menerajui pemerintahan kerajaan negeri meletakkan seorang calon muda, Mohd Shafizan Kepli, 37, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batang Lupar.


Berkelulusan Sarjana Muda Sastera Universiti Sains Malaysia, Mohd Shafizan akan berhadapan Hamdan Sani dari Perikatan Nasional-PAS dan Well@Maxwell Rojis dari Pakatan Harapan-Amanah.

Next Post Previous Post