Mengakhiri kisah ‘off road’ di Baram

Lonjakan adrenalin setiap kali melalui permukaan tidak rata, berbatu dan berlumpur, Mengakhiri kisah ‘off road’ di Baram
Projek menaiktaraf jalan di sekitar Long Lama dan kawasan Long Laput di Telang Usan. Gambar arkib kredit RECODA

BARAM— Lonjakan adrenalin setiap kali melalui permukaan tidak rata, berbatu dan berlumpur menjadi ‘cabaran yang dicari’ peminat aktiviti lasak ‘off road’ setiap kali turun beraksi.


Aktiviti yang menguji kecekapan pemandu mengemudi kenderaan pacuan empat roda atau 4WD dalam menawan bentuk muka bumi semula jadi itu sering kali membawa pesertanya merasai suasana cabaran pengembaraan lebih-lebih lagi semasa memandu di dalam kawasan hutan.


Projek menaiktaraf jalan di sekitar Long Lama dan kawasan Long Laput di Telang Usan. Gambar arkib kredit RECODA


Ironinya, aktiviti dipanggil ‘sukan’ atau ‘hobi’ lasak itu ialah rutin kehidupan buat mereka yang masih tidak mempunyai akses kepada jaringan jalan raya asas seperti di beberapa kawasan pedalaman di Baram, termasuk kira-kira 7,500 penduduk yang menghuni kawasan tanah tinggi Bario.


Terletak dalam bahagian Miri di utara Sarawak, kawasan Baram yang sinonim dengan bentuk muka bumi berbukit itu masih lagi tidak mempunyai jaringan jalan raya menyeluruh, malah di sesetengah kawasannya, ‘jalan balak’ atau tidak berturap masih lagi digunakan sebagai laluan utama.


Dalam situasi itu, kenderaan yang mempunyai kemampuan untuk menggerakkan keempat-empat tayar menjadi pilihan utama penduduk di lokasi berkenaan bagi menjalankan aktiviti seharian mereka.

 

Lebih mencabar lagi, semasa musim hujan atau tengkujuh jalan balak berkenaan tidak boleh dilalui kerana sering kali berlumpur sehingga membuatkan tayar ‘tersangkut’ di dalam selut.


Dalam mendepani cabaran khususnya perhubungan darat, kerajaan Sarawak menubuhkan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) pada 12 Julai 2017 bagi merangsang pembangunan ekonomi di kawasan seperti Bario, Mulu dan Long Lama yang keseluruhannya berkeluasan 18,463 kilometer (km) persegi.


HDA di bawah Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Timbalan Premier Sarawak, telah memulakan langkah membina dan menaik taraf jaringan jalan raya di dalam kawasan HDA termasuk projek besar membina jalan raya menghubungkan Miri ke Marudi, Marudi ke Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai ke Long Lama.


Projek yang pembinaannya dijadual bermula pada akhir tahun depan dan siap pada 2027 itu akan melibatkan jaringan jalan raya sepanjang 160.5 km, pembinaan 22 jambatan serta sebuah terminal jeti penumpang dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.8 bilion.


Setelah siap kelak, projek itu dilihat bukan sahaja akan memberi impak positif kepada kehidupan harian, malah juga membuka peluang ekonomi buat penduduk di sepanjang jaringan jalan raya itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau. 


Jelasnya, di DUN Telang Usan yang juga kawasan di bawah Parlimen Baram kini mempunyai kira-kira 1,000 km jalan balak yang menjadi rangkaian perhubungan buat 88 rumah panjang di kawasan itu.


“Ini sememangnya cabaran besar buat HDA, pertama kos pembinaan jalan ini dijangka tinggi kerana mengambil kira faktor logistik di kawasan berbukit serta faktor penduduk di kawasan Baram yang bertaburan dan tidak tertumpu pada satu kawasan sahaja,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Menceritakan mengenai sejarah pembinaan jalan-jalan balak di Baram, Dennis yang juga Ahli Lembaga Pengarah HDA berkata aktiviti pembalakan kini jauh lebih kecil berbanding pada kira-kira tahun 80-an dan 90-an yang terdapat banyak aktiviti pembalakan berlaku di kawasan hutan Baram.


“Situasi sekarang jauh berbeza, masih ada (pembalakan) tetapi sudah kurang. Sekarang ini jalan balak juga dalam keadaan teruk kerana tidak lagi diselengga­rakan dan sudah ditinggalkan oleh syarikat-syarikat balak sebelum ini.


“Selain itu, keadaan cuaca kini juga tidak menentu. Keadaan hujan di Baram agak luar biasa dengan hujan lebat sepanjang tahun, tiada lagi musim kemarau yang panjang. Hujan ini telah menjejaskan jalan balak dan tanah di kawasan kita,” katanya. 


Dengan tugas berat yang perlu dipikulnya, peranan HDA tidak lagi hanya boleh dilihat sebagai sebuah agensi pembangunan semata-mata tetapi membawa tanggungjawab untuk merealisasikan impian serta harapan buat penduduk di kawasan Baram.


Sekiranya berjaya, usaha itu bakal ‘menutup buku’ atau mengakhiri kisah ‘off road’ buat penduduk di kawasan Baram selain membuka peluang baharu buat mereka. 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.