Thomas saman pasukan petugas, kerajaan berhubung laporan memoir
Tommy Thomas, bekas Peguam Negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020 menerbitkan ‘My Story: Justice In the Wilderness’ pada Jan 2021. |
KUALA LUMPUR— Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memfailkan saman pemula terhadap Pasukan Petugas Khas dan kerajaan dengan mendakwa laporan siasatan berhubung kandungan memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’ adalah tidak sah dan melanggar undang-undang.
Thomas, bekas Peguam Negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020, memfailkan saman itu hari ini melalui firma guamannya, Tetuan Tommy Thomas, dengan menamakan Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Datuk Seri Fong Joo Chung, enam ahli pasukan itu dan kerajaan sebagai defendan, lapor BERNAMA.
Selain Fong, ahli pasukan petugas itu adalah Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamaruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K. Balaguru,Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.
Thomas memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk 'Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk "My Story: Justice In The Wilderness' adalah dokumen tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.
Dalam saman pemula itu, beliau berkata penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan dan/atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau juga memohon deklarasi bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar haknya terhadap reputasinya seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Thomas dalam afidavit sokongannya, mendakwa bahawa laporan itu diterbitkan dengan niat untuk merosakkan reputasinya, mengandungi dakwaan palsu dan tidak berasas dan diterbitkan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut dan menganggunya.
Mervyn Lai, yang menganggotai pasukan peguam Thomas, ketika dihubungi, berkata saman pemula itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara petang ini.
Buku tulisan bekas peguam itu diterbitkan pada Januari 2021 dengan pelbagai kontroversi menyebabkan Kabinet pada 8 OKt 2021 menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk menjalankan kajian awalan ke atas pendedahan terkandung dalam buku tersebut.
Pada 13 Okt lalu, kerajaan menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas itu, antara lain mengesyorkan supaya Thomas disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan.