Polis tangkap 1,221 saspek, dakwa 914 keldai akaun di Sarawak

Datuk Mohd Azman (gambar sisipan) berkata, trend jenayah komersil di Sarawak kini menyaksikan akaun keldai semakin berleluasa.

KUCHING— Polis Sarawak menahan 1,221 suspek selepas dikesan terbabit dalam kegiatan sindiket keldai akaun di negeri ini bagi tempoh Jan 2021 hingga Sept tahun ini.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, daripada jumlah yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak itu, seramai 914 individu telah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk aktiviti jenayah.


“Trend jenayah komersil di Sarawak kini menyaksikan akaun keldai semakin berleluasa digunakan oleh penjenayah untuk menerima wang hasil daripada aktiviti penipuan dalam talian dan menerusi media sosial,” 


“Siasatan polis menunjukkan individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh penjenayah sebenarnya mengetahui bahawa mereka tidak

boleh mendedahkan sebarang maklumat akaun kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau menambah, suspek keldai akaun boleh dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menerima harta curi dengan curang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Selain itu, Seksyen 424 kanun keseksaan kerana mengalih atau menyembunyikan harta dengan cara tidak jujur atau tipuan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


“Tertuduh boleh dipenjara tiga bulan dan denda RM500 di bawah seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sarawak 1958 kerana mempunyai dalam milikan atau menyampaikan dalam apa-apa yang disyaki secara munasabah sebagai dicuri atau diperolehi secara tidak sah,” katanya.



Mohd Azman sehubungan itu mengingatkan individu atau syarikat dinasihatkan agar segera menutup akaun bank mereka sekiranya tidak lagi mempunyai kawalan ke atas akaun bank agar ia tidak digunakan untuk kegiatan menyalahi undang-undang.


“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan sebagai akaun keldai untuk dituduh di mahkamah.”


“Kerjasama semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan perlu bagi membantu polis memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa mereka tidak boleh berselindung sebagai mangsa apabila membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh orang lain untuk aktiviti jenayah,” katanya.


Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui check scammers ccid atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.


Maklumat lanjut boleh didapati di Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatkan maklumat modus operandi terkini penipuan.


Atau berhubung dengan CCID Scam Response Center melalui talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 atau Commercial Crime Investigation Department (CCID) infoline di talian 013-211 1222 (whatsapp/sms) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah dalam talian.


Hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika anda merupakan mangsa penipuan siber (macau scam, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya) sekiranya anda baru sahaja membuat transaksi pindahan wang ke mana-mana akaun keldai/sindiket penipuan.

Next Post Previous Post