Bomba Sarawak jalani simulasi hadapi bencana ketika PRU15

Bomba Sarawak menjalani latihan simulasi bermula minggu depan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Gambar arkib

KUCHING—Seramai 1,590 anggota bomba dari semua balai bomba dan penyelamat di Sarawak akan menjalani latihan simulasi bermula minggu depan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini berkata satu bengkel selama dua hari juga akan diadakan bermula esok di Sibu bersama-sama agensi penguatkuasaan dan penyelamat lain bagi menjelaskan rantaian arahan semasa insiden.


“Kita sudah maklumkan kepada anggota kita cuti akan dibekukan, (cuti yang diluluskan akan) ditarik balik bila-bila masa dan mereka diminta untuk tidak berada di kawasan yang jauh yang tidak dapat dihubungi. Yang dipanggil bertugas ini didaftarkan di bawah undi pos,” katanya dilapor BERNAMA.


Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pesara 2022 JBPM Sarawak, di sini malam tadi, beliau berkata syif bertugas untuk anggotanya akan diubah dari 12 jam kepada 24 jam jika keadaan memerlukan.


Menurutnya, sebanyak 51 pasukan Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti yang ditubuhkan di negeri ini juga diminta untuk bersiap siaga dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir semasa PRU15.

Next Post Previous Post