Pemilik terkejut, rumah sewa dijadikan pusat melombong bitcoin terbakar
Bilik khas untuk menyimpan mesin bitcoin di Kota Sentosa musnah dalam kebakaran. Gambar kredit Bomba |
KUCHING— Sebuah rumah kedai di tingkat satu di Kota Sentosa terbakar dipercayai berpunca daripada kegiatan melombong bitcoin, semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, siasatan lanjut mendapati rumah kedai struktur batu itu tiada berpenghuni dan hanya dijadikan tempat menjalankan aktiviti Bitcoin.
“Terdapat banyak penyambungan wayar eletrik yang tidak sah di dalam sebuah bilik yang dibuat khas untuk menyimpan mesin Bitcoin di atas satu rak lima tingkat. Bilik tersebut terbakar 100 peratus.
“Polis turut merampas 57 unit mesin Cripto, masing-masing seunit modem dan komputer riba dan dua meter elektrik. Kesemua barangan rampasan terbakar kerugian bil elektrik dianggarkan RM16,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kegiatan melombong bitcoin itu terbongkar selepas penyewa di sebelah rumah kedai itu terlihat kepulan asap keluar sekitar 6.45 petang semalam sebelum menghubungi polis dan pemilik rumah tersebut.
Pengadu yang dikenali nama Wong, sampai di lokasi pada 7.30 malam dan mendapati api sudah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang.
Menurut Wong, rumah tersebut disewakan kepada seorang lelaki sejak Mac tahun ini dengan bayaran RM800 sebulan.
Maklumat pihak bomba memberitahu kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas kerana penyambungan pendawaian yang tidak sah menjalankan aktiviti Bitcoin.
“Bagaimana pun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.
"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan. Operasi turut disertai polis, Sesco dan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Kota Sentosa,” katanya.