Pasangan kekasih antara 7 ditahan edar dadah

Yahaya menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media di sini hari ini. Gambar kredit Polis KL

KUALA LUMPUR— Polis merampas pelbagai dadah seberat 93 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM2.8 juta hasil penahanan tujuh individu termasuk sepasang kekasih yang juga lulusan universiti tempatan dalam dua operasi berasingan di sekitar ibu kota, Selasa lepas.


Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata pasangan berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan dalam Op Grace yang dijalankan bermula 6.50 petang di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini dan menemukan dadah jenis mushroom seberat sekilogram dalam beg dibawa mereka.


Beliau berkata polis kemudian ke sebuah unit kondominium disewa mereka dan menemukan 57 kg dadah jenis mushroom, ganja seberat 17.7 gram dan 23 botol cecair vape mengandungi dadah.


"Suspek dipercayai memproses dadah berkenaan yang dibeli secara dalam talian dari negara jiran dan diproses untuk dijadikan rokok dan cecair vape ekoran penemuan 2.9 kg serbuk pemprosesan dadah, 27.8 liter cecair kimia serta pelbagai peralatan dan mesin untuk tujuan pemprosesan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Yahaya berkata pelanggan di sekitar Lembah Klang mendapatkan bekalan secara terus daripada suspek manakala bekalan untuk luar Lembah Klang akan dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.


Beliau berkata pasangan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Diploma Pengurusan Hotel itu negatif ujian saringan dadah namun suspek lelaki mempunyai satu rekod lampau jenayah berkaitan dadah. 


Sementara itu, Yahaya berkata polis merampas syabu seberat 34 kg serta menahan empat lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 28 hingga 60 tahun di sebuah kondominium di Taman Desa di sini menerusi Op Paloma yang dijalankan kira-kira 6 petang hari sama.


Beliau berkata kesemua dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi berkenaan boleh digunakan 200,000 penagih dan semua suspek yang aktif mengedar dadah di Lembah Klang sejak tiga bulan lepas direman hingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post